Anwar, Ketua Eksekutif Hong Kong John Lee adakan pertemuan empat mata
Bernama
Julai 27, 2023 14:03 MYT
Julai 27, 2023 14:03 MYT
PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Ketua Eksekutif Wilayah Pentadbiran Khas Hong Kong (HKSAR) John Lee Ka-chiu hari ini mengadakan pertemuan empat mata di Putrajaya bagi membincangkan usaha meningkatkan hubungan dua hala serta usaha meneroka peluang kerjasama.
Pertemuan itu berlangsung di Perdana Putra di sini yang bermula pada kira-kira 1.15 tengah hari, sebaik ketibaan Lee ke negara ini bagi memulakan lawatan kerja tiga hari ke Malaysia.
Ini merupakan lawatan sulung Lee ke Malaysia selepas menyandang jawatan sebagai Ketua Eksekutif HKSAR kelima pada 2022.
Anwar dan Lee dijangka bertukar-tukar pandangan mengenai perkembangan semasa, kerjasama dua hala dan langkah ke hadapan, terutama dalam bidang perdagangan dan ekonomi, inovasi dan teknologi serta pertukaran antara rakyat.
Turut hadir Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook; Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz; Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang; Menteri Luar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing.
Lee mengetuai delegasi yang terdiri daripada pegawai-pegawai kanan HKSAR, serta wakil daripada pelbagai sektor termasuk perindustrian dan komersial, perdagangan, inovasi dan teknologi serta pengangkutan dan logistik.
Lee juga dijadual menghadiri forum perniagaan Malaysia-Hong Kong dan menyaksikan pemeteraian beberapa memorandum persefahaman (MOU) antara entiti perniagaan ketika berada di Malaysia.
-- BERNAMA