Anwar kesal gaji Ketua Menteri, ADUN Sabah dinaikkan
Madiha Abdullah
Julai 19, 2022 00:35 MYT
Julai 19, 2022 00:35 MYT
KUALA LUMPUR: Usul menaikkan saraan Ketua Menteri, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan anggota pentadbiran negeri sehingga 40 peratus yang diluluskan DUN Sabah, disifatkan tidak wajar.
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata beliau kesal dengan kenaikan itu yang dibuat ketika rakyat sedang bergelut dengan isu kos sara hidup yang tinggi.
Justeru, beliau menggesa pemimpin yang dipilih agar mengutamakan kebajikan orang ramai terutama pada waktu sekarang.
"Saya kesal dengan keputusan ini sedangkan rakyat sedang bergelut dengan permasalahan kos sara hidup yang tinggi.
"Saya ingin mengingatkan semua pemimpin agar sentiasa mementingkan kebajikan rakyat berbanding kepentingan diri mereka, terutamanya waktu yang sangat memprihatinkan saat ini.
“Saya menggesa agar keputusan ini tidak diteruskan dengan mengambil kira kesusahan dan kepayahan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan Selasa malam.
Pada Selasa, DUN Sabah meluluskan usul untuk menaikkan saraan Ketua Menteri, ADUN dan anggota pentadbiran negeri yang lain.
Usul untuk Rang Undang-Undang Anggota Pentadbiran dan Ahli Dewan Undangan (Saraan) (Pindaan) 2022 dicadangkan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor itu telah diluluskan dengan suara terbanyak.
Dengan kelulusan itu, saraan Ketua Menteri yang sebelum ini RM23,595 sebulan dinaikkan kepada RM33,033; Timbalan Ketua Menteri RM20,872.50 (RM29,221.50); Menteri RM16,335 (RM22,869); Speaker DUN RM16,335 (RM22,869); Pembantu Menteri RM12,705 (RM17,787); Timbalan Speaker DUN RM12,705 (RM17,787); ADUN RM7,950 (RM11,130); dan Setiausaha Politik RM5,445 (RM7,623).
Hajiji yang juga Menteri Kewangan Kedua Sabah ketika menggulung usul itu berkata, implikasi kewangan kerajaan negeri untuk pelaksanaan kenaikan saraan itu dilihat tidak terlalu berat dan hanya melibatkan jumlah RM5.6 juta setahun.
Katanya, pelarasan itu dilihat wajar dan apa yang penting wakil rakyat perlu terus memberi yang terbaik kepada rakyat.