Anwar kemuka usul bahas isu 'Pandora Papers' di Dewan Rakyat
Astro Awani
Oktober 4, 2021 20:53 MYT
Oktober 4, 2021 20:53 MYT
KUALA LUMPUR: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menghantar usul di Dewan Rakyat susulan pendedahan Pandora Papers awal pagi tadi.
Dalam satu kenyataan, Anwar berkata usul yang dihantar ke Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun itu dibuat di bawah Peraturan Mesyuarat 18(1) Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.
"Saya menggesa agar Dewan Rakyat untuk segera membahaskan isu mendesak ini kerana ia telah menyebut beberapa nama besar dalam negara.
"Saya percaya perkara ini juga adalah berkenaan kepentingan orang ramai kerana ia turut menyebut nama-nama tokoh politik kerajaan dan juga pembangkang," katanya dalam satu kenyataan di media sosial.
Justeru, Ahli Parlimen Port Dickson itu memohon supaya usul tersebut dipertimbang dan dilulus untuk dibahaskan.
Media hari ini memetik laporan Pandora Papers yang mendedahkan ratusan pemimpin dunia, ahli politik, hartawan, selebriti, pemimpin agama dan pengedar dadah dilapor menyembunyikan wang, pelaburan mereka dalam hartanah, kapal persiaran, aset lain dan pengelakan pembayaran cukai, sepanjang 25 tahun lalu.
Ini didedahkan menerusi 12 juta fail yang dimiliki 14 firma di serata dunia.
Menurut pendedahan itu, dua individu daripada Malaysia didakwa antara 336 ahli politik yang memiliki akaun luar pesisir dan terdapat 118 syarikat luar pesisir dengan pemilik berasal dari Malaysia.