Anwar kecam dasar Barat terhadap Gaza sebagai tidak bermoral, hipokrit

Bernama
September 6, 2024 13:30 MYT
Anwar berkata bahawa keengganan kuasa Barat untuk mengikut prinsip penyelesaian konflik secara aman adalah mengejutkan. - Gambar fail
VLADIVOSTOK (Rusia): Dasar negara-negara Barat terhadap konflik Palestin-Israel dan Semenanjung Gaza adalah tidak bermoral dan hipokrit berbanding pendekatan mereka terhadap krisis Ukraine, kata Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam satu wawancara bersama agensi berita Rusia RIA Novosti dan penyiar RT.
"Saya menyebut mengenai pengabaian prinsip moral dan percanggahan yang jelas dalam cara mereka melihat konflik seperti di Ukraine berbanding di Gaza.
"Anda dapat lihat percanggahan yang ketara, kadangkala saya anggap ia seperti "apocalyptic" (kiamat), tetapi akhirnya apa yang penting adalah untuk mencapai keamanan," kata Anwar di luar sidang Forum Ekonomi Timur (EEF), lapor Sputnik.
Mengulas mengenai tindakan Barat di Ukraine dan Semenanjung Gaza, Anwar berkata bahawa keengganan kuasa Barat untuk mengikut prinsip penyelesaian konflik secara aman adalah mengejutkan.
"Kami menyokong penyelesaian secara aman, sama ada berhubung Ukraine atau sebahagian besar Gaza dengan kekejaman yang sedang menimpa rakyat Palestin di Gaza, serta ketidakupayaan dan pengabaian sepenuhnya prinsip oleh kuasa Barat, ini sangat mengejutkan bagi saya," katanya.
Forum Ekonomi Timur bermula pada Selasa dan berlangsung sehingga hari ini (Jumaat).
-- BERNAMA
#Anwar Ibrahim #Rusia #Gaza #barat hipokrit
;