Anwar jumpa KP SPRM Isnin ini bincang isu rasuah

Dewi Nur Harasha Alias
Mac 20, 2021 19:09 MYT
Anwar berkata, beberapa isu termasuk berhubung isu rasuah akan menjadi fokus perbincangan. - Gambar fail/Astro AWANI
PERMATANG PAUH: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengadakan pertemuan dengan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Azam Baki pada Isnin ini.
Anwar berkata, beberapa isu termasuk berhubung isu rasuah akan menjadi fokus perbincangan dan sebagai sebuah badan profesional, beliau mengharapkan pertemuan itu berjalan dengan lancar.
Pihaknya juga berharap SPRM akan menjadi sebuah agensi yang bebas, tegas dalam membanteras rasuah serta tidak dijadikan senjata politik mana-mana pihak.
"Dia setuju nak jumpa saya jam 3 petang, jadi saya akan jumpa. Beberapa pandangan dibawa oleh rakan Keadilan dan Pakatan Harapan (PH) mengenai kebimbangan kita dalam menyokong SPRM sebagai badan profesional dan bebas.
"Kita juga melahirkan rasa gelisah kerana dipercayai oleh sebahagian kita dengan bukti bahawa agensi kerajaan itu dijadikan sebagai senjata politik untuk menyekat musuh. Kita harus bagi ruang dengan baik dan positif untuk mereka dengar dan ulas," jelas Anwar yang juga Presiden PKR.
BACA: Bincang isu rasuah, SPRM sedia bertemu Anwar
Beliau berkata demikian selepas majlis 'Sembang Santai bersama Reformasi' di Taman Guar Perahu, Permatang Pauh pada Sabtu.
Sebelum ini, Ahli Parlimen Port Dickson itu dalam sidang media di sebuah hotel terkemuka di Petaling Jaya, menyatakan hasratnya untuk menulis surat bagi mengadakan pertemuan dengan Azam susulan terdapat beberapa ahli Parlimen PKR didawka menerima ugutan dan sogokan.
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Azam Baki seterusnya menyatakan kesediannya untuk bertemu Anwar dan tidak mempunyai masalah untuk bertemu bagi membincangkan isu berkaitan rasuah.
#Anwar Ibrahim #Presiden PKR #kp sprm #Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia #SPRM #Azam Baki #Rasuah #Ketua Pembangkang
;