Anwar jamin tidak hadiahkan jawatan Menteri kerana menyokongnya
Ridauddin Daud
November 27, 2022 14:30 MYT
November 27, 2022 14:30 MYT
PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengulangi pendiriannya untuk mengecilkan saiz Kabinet berbanding kerajaan sebelum ini.
Menurutnya, perbincangan masih berjalan namun beliau tidak mahu meneruskan tradisi sebelum ini yang memberi jawatan menteri sebagai bentuk 'hadiah' terhadap sokongan mereka.
Tegasnya, sokongan Ahli Parlimen terhadapnya perlu berteraskan kepada polisi, komitmen terhadap urus tadbir yang baik dan bebas rasuah, bukan kerana mahukan jawatan menteri.
"Sudah pasti keputusan saya untuk mengecilkan saiz Kabinet kerana saya tidak mahu teruskan dengan lantikan menteri dengan jumlah terlalu besar sebagai 'hadiah'.
"Jadi... anda kemudian memiliki 70 menteri dengan Penasihat Khas.
"Kita boleh pertimbangkan satu atau dua, yang mana perlu, tapi kita tidak mahu dilihat memberikan jawatan kepada ahli politik kerana mereka menyokong anda," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Mesyuarat Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) 2022 di sini pada Ahad.
Tegas Anwar, perbincangan mengenai Jemaah Menteri masih berjalan dan beliau menjangkakan cadangan akan mula diperoleh dalam masa beberapa hari lagi.
"Sudah pasti ia akan mengambil masa (pembentukan Kabinet). Saya perlu bincang dengan rakan gabungan dalam Pakatan Harapan (PH) dan tiga parti lain dan GPS (Gabungan Parti Sarawak).
"Kita ada mesyuarat yang baik dengan Tan Sri Abang Johari Tun Openg semalam di rumah saya dan saya sudah bercakap dengan wakil Barisan Nasional dan mereka juga ada jawatankuasa kerja dan ada beberapa cadangan.
"Kemudian saya akan jumpa petang ini, dengan GRS (Gabungan Rakyat Sabah) bersama Datuk Seri Hajiji Noor dan saya juga akan bincang dengan Warisan (Parti Warisan Sabah)," katanya.
Semalam Astro AWANI melaporkan hubungan antara Kerajaan Pusat dan Sarawak akan lebih akrab serta diperkukuh dalam perancangan melakar sebuah negara yang baik dan berketrampilan, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri berkata, Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang dipimpin Pengerusi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menjadi antara tonggak membentuk Kerajaan Perpaduan yang dikemudinya.
Menerusi hantaran di laman Facebook dan Twitter beliau pada Sabtu, Anwar berkata beliau menerima kunjungan Premier Sarawak yang juga Pengerusi GPS, Tan Sri Abang Johari Tun Openg di kediamannya.