Anwar ikhlas tangani isu-isu lama dihadapi masyarakat India - Xavier

Bernama
September 29, 2024 06:15 MYT
Kerajaan MADANI di bawah kepimpinan Anwar menyaksikan pertumbuhan dalam setiap sektor, termasuk komitmen beliau yang ikhlas dalam menangani isu-isu lama yang dihadapi masyarakat India di Malaysia. - Gambar Bernama
KUALA LUMPUR: Kerajaan MADANI di bawah kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim menyaksikan pertumbuhan dalam setiap sektor, termasuk komitmen beliau yang ikhlas dalam menangani isu-isu lama yang dihadapi masyarakat India di Malaysia.
Bekas Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selangor, Datuk Dr Xavier Jayakumar berkata, walaupun segelintir masyarakat di negara ini mungkin tidak mengakuinya atas sebab politik, namun usaha kerajaan untuk membawa perubahan terserlah dan kemenangan di Pilihan Raya Kecil (PRK) di Johor, menjadi bukti bahawa rakyat mengiktiraf kebaikan yang Perdana Menteri lakukan.
“Semua sedar bahawa masalah yang dihadapi masyarakat India tidak datang dalam masa singkat, atau ia akan dapat diselesaikan dengan segera. Bagaimanapun, kita harus mengakui bahawa kerajaan telah mula mengambil langkah untuk mengurangkan isu-isu ini, dan harus diakui bahawa Perdana Menteri sedang berusaha dengan ikhlas dan jujur ​​untuk menanganinya.
“Sebagai buktinya, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini mengadakan pertemuan ketiganya dengan Ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri dan Ahli Dewan Negara berbangsa India, bagi menggariskan perkara yang telah dilakukan kerajaan dan apa yang telah dirancangkan untuk masyarakat India,” katanya dalam satu kenyataan.
Xavier berkata, dalam tempoh setahun setengah selepas memegang jawatan sebagai Perdana Menteri, Anwar telah mengadakan tiga pertemuan dengan mereka, menunjukkan kepentingan yang beliau berikan untuk masyarakat India dan ia mencerminkan keprihatinan beliau yang sebenar terhadap masyarakat itu dan semasa mesyuarat ketiga itu, banyak isu yang dihadapi oleh masyarakat India telah dibangkitkan.
Xavier turut bertanyakan siapakah Perdana Menteri sebelum ini yang pernah mengadakan pertemuan dengan Ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri dan Ahli Dewan Negara berbangsa India, dua kali setahun.
Beliau berkata, sebelum ini, banyak masalah yang dihadapi masyarakat India berpunca daripada mereka yang mengaku sebagai rakan kongsi dalam pembangunan negara, tetapi gagal memberikan masyarakat itu status rakan kongsi sebenar.
"Kita tahu bahawa kepimpinan pada masa itu, bersama-sama pegawai kerajaan, tidak menunjukkan keprihatinan terhadap isu kita atau menganggap masalah kita sebagai masalah negara.
“Sekiranya kita dapat menghapuskan bias ras dan agama daripada pemikiran pegawai dan pemimpin kerajaan, maka kita boleh menyelesaikan semua masalah dalam negara dengan mudah. Semua rakyat tanpa mengira bangsa dan agama akan menerima perkhidmatan kerajaan tanpa diskriminasi,” katanya.
Pada senario sebegitu, Xavier berkata, Perdana Menteri tidak perlu campur tangan sendiri dalam menyelesaikan isu yang melibatkan minoriti, pegawai kerajaan sendiri boleh menyelesaikannya.
“Sebagai contoh, proses permohonan kad pengenalan atau meluluskannya sepatutnya menjadi tugas pegawai kerajaan. Sama ada permohonan itu ditangguhkan atau diluluskan dengan pantas bergantung kepada pegawai itu, jika pegawai itu percaya bahawa kami juga rakyat Malaysia, isu itu boleh diselesaikan pada peringkat pegawai.
“Banyak perkara yang masih belum dapat diselesaikan selama bertahun-tahun, menunggu cadangan khas daripada menteri atau Perdana Menteri, adalah disebabkan oleh kekurangan pertimbangan tersebut oleh pegawai,” katanya.
Xavier berkata, tekanan mental, pendidikan, ekonomi dan kesan sosial yang disebabkan oleh kelewatan sedemikian, tidak dapat diukur dan inilah sebabnya slogan panduan Perdana Menteri, ‘Semua rakyat Malaysia adalah anak-anak saya,’ adalah mantera yang kuat untuk perpaduan negara. - BERNAMA
#Anwar Ibrahim #Xavier Jayakumar #India #Kerajaan Madani
;