Anwar Ibrahim tarikan sebenar pelancong ke Malaysia - Presiden MiTDA
Khalis Khadir
Januari 8, 2025 21:57 MYT
Januari 8, 2025 21:57 MYT
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah tarikan sebenar untuk pelancong hadir memeriahkan Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026).
Presiden Persatuan Pembangunan Pelancongan Antarabangsa Malaysia (MiTDA), Kapten Mahadzir Mansor berpendapat, nama Malaysia makin terkenal kerana Anwar menjadi simbol kepimpinan luar biasa di mata dunia.
“Sebenarnya, Perdana Menteri kita Datuk Seri Anwar adalah produk pelancongan untuk Malaysia. Ramai orang tidak tahu ini, tarikan orang datang ke Malaysia adalah kerana usaha Anwar dan kepimpinan jadi PM adalah produk pelancongan kita,” katanya.
Mahadzir yang mengulas dalam Pantau Agenda Reformasi pada Rabu berkata, selain nama Anwar itu sendiri, ramai yang tidak mengetahui Malaysia cukup terkenal dengan produk pelancongan kesihatan.
Malah, beliau hairan apabila rakyat di negara ini masih ada skeptikal dengan kualiti perkhidmatan di Malaysia sehingga sering membuat perbandingan dengan Singapura.
“Walhal, Malaysia jauh ke hadapan dalam pelbagai sektor dan mentaliti itu harus ditanam dalam setiap pemikiran rakyat agar mereka mempunyai jati diri yang kukuh,” ujarnya.
Tambahnya lagi, perkara paling penting bagi memastikan pelancong merasai pengalaman menarik ketika berada di Malaysia, aspek kebersihan harus diutamakan kerana ia cerminan sikap rakyat di negara ini.
Sebelum ini, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) meletakkan sasaran ketibaan seramai 35.6 juta pelawat antarabangsa dengan menjana nilai RM147.1 bilion sempena TMM2026.