Anwar Ibrahim iktiraf keupayaan ekonomi Sarawak, berseloroh mahu buat pinjaman - Abang Jo
Nuzuluddin Abdul Razak
Januari 14, 2023 07:15 MYT
Januari 14, 2023 07:15 MYT
BAU: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengiktiraf keupayaan Sarawak dalam menjamin pendapatan yang stabil untuk pembangunan di negeri ini.
Mendedahkan perkara itu, Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, pemimpin nombor satu negara itu pernah berseloroh ingin membuat pinjaman kewangan daripada Sarawak.
Jelasnya, biarpun berseloroh, pandangan Anwar secara prinsip memberi isyarat bahawa kerajaan Persekutuan mengakui kestabilan dasar kewangan yang telah dilaksanakan beliau sebagai pemimpin kerajaan negeri.
“Selepas dilantik menjadi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berseloroh, menelefon dan mengajak saya sarapan pagi bersama, selepas beliau memberitahu telah diberikan taklimat kedudukan kewangan negara.
“Anwar kata kedudukan kewangan negara teruk, banyak hutang, boleh Sarawak bagi saya pinjam? Dalam erti kata lain, dia mengakui bahawa ekonomi Sarawak sekarang ini kukuh walaupun kita sebenarnya perlu berjuang untuk mendapatkannya,” katanya.
Menteri Kewangan dan Ekonomi Baharu Sarawak itu menegaskan, pendapatan negeri yang stabil juga diperolehi di atas pengenalan ekonomi baharu serta perjuangan pemimpin Sarawak berlandaskan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
“Kita memperjuangkan MA63, kita terpaksa pergi ke mahkamah untuk mengenakan cukai jualan negeri (SST) termasuk Akta Pembangunan Petroleum (PDA) dan Ordinan Perlombongan Minyak (OMO) yang mesti wujud bersama.
“Maka kita ada hak untuk menjalankan aktiviti perlombongan terhadap sumber-sumber mineral di luar pesisir, ini akan menambahkan pendapatan negeri juga melalui hidrogen dan penyimpanan karbon,” ujarnya lanjut.
Beliau berucap semasa Majlis Pembukaan Rasmi Kampung Budaya Bidayuh (BCV), Gawai Bandi Persatuan Penyelidikan dan Pembangunan Pergerakan Singai Sarawak (Redeems) 2023 dan Sambutan Ulang Tahun ke-25 Redeems di sini pada Sabtu malam.
Pembinaan BCV melibatkan peruntukkan berjumlah RM16.6 juta daripada kerajaan negeri berkonsepkan rumah panjang tradisional Bidayuh dengan digarapkan dengan beberapa ciri-ciri moden.
Sarawak kekal optimis mensasarkan pendapatan negeri berjumlah RM11 bilion untuk tahun 2023 dalam masa yang sama memperuntukkan RM10.797 bilion dalam belanjawan 2023.