Anwar hulur sumbangan kepada anak P. Ramlee

Bernama
September 1, 2023 22:53 MYT
Penyerahan sumbangan itu disempurnakan oleh Setiausaha Politik Perdana Menteri Ahmad Farhan Fauzi petang tadi. - Gambar Facebook Anwar Ibrahim
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menghulurkan sumbangan kepada anak seniman agung negara Allahyarham Tan Sri P. Ramlee, Sazali yang terlibat dengan kemalangan sehingga dikategorikan sebagai Orang Kurang Upaya (OKU).
Menerusi catatan di Facebook, penyerahan sumbangan itu disempurnakan oleh Setiausaha Politik Perdana Menteri Ahmad Farhan Fauzi petang tadi.
"Baru-baru ini timbul laporan yang memberitakan penderitaan yang merundung saudara Sazali yang merupakan anak kepada seniman agung negara, Almarhum P. Ramlee.
Malang buat beliau tatkala terlibat dengan kemalangan sehingga jatuh dalam kategori Orang Kurang Upaya (OKU) dan tidak lagi punya kekuatan untuk bekerja dan mencari rezeki. Kini isterinya memerlukan perhatian dan rawatan segera dari doktor akibat masalah tulang belakang dan saraf di leher," katanya.
Anwar dalam pada itu berharap sumbangan berkenaan dapat meringankan beban yang ditanggung Sazali dan isteri.
"Saya mendoakan urusan rawatan dipermudah serta lekas diberi kesembuhan oleh Allah SWT, insya-Allah," katanya.
-- BERNAMA
#seniman agung negara #urusan rawatan #OKU #Facebook
;