Anwar harus gunakan kelebihan pengalamannya jadi pengantara dalam krisis Myanmar - Penganalisis

Bernama
Mei 18, 2023 21:48 MYT
Oh berkata Anwar sedang menyesuaikan dirinya semula dengan pemimpin-pemimpin negara di rantau ini. - Gambar fail/PMO
KUALA LUMPUR: Seorang penganalisis politik hari ini mencadangkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menggunakan kelebihan pengalamannya untuk mengetuai proses pengantaraan krisis Myanmar.
Dr Oh Ei Sun, Felo Kanan Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura berkata Anwar terkenal di seluruh dunia serta memiliki pengalaman politik yang bertahun-tahun dan tepat pada masanya Malaysia untuk memainkan peranan utama dan lebih proaktif di peringkat antarabangsa.
"Diharap, beliau boleh mengetuai untuk mendapatkan satu kesepakatan dalam mengendalikan isu Myanmar, sebagai contoh, dan jika usaha itu berjaya berasaskan itu kita (ASEAN) boleh cuba menjadi pengantara kepada negara atau rantau lain di dunia," katanya dalam program Bernama TV "Brief" .
Oh berkata Anwar sedang menyesuaikan dirinya semula dengan pemimpin-pemimpin negara di rantau ini dan ini terbukti dalam Sidang Kemuncak ASEAN ke-42 yang berlangsung di Labuan Bajo, Indonesia dari 10 hingga 11 Mei lepas.
Anwar telah mengetengahkan isu Myanmar pada sidang kemuncak itu dan berkata disebabkan rundingan yang berpanjangan, negara anggota ASEAN terutamanya Malaysia terpaksa bergelut dengan kemasukan lebih daripada 200,000 pelarian Myanmar.
"Saya fikir PM Anwar seharusnya menggunakan reputasi beliau yang disenangi di seluruh dunia untuk memainkan peranan sebagai pendamai ... tidaklah hingga menjadi pengantara antara Rusia dan Ukraine tetapi (lebih kepada) sudut rantau kita, sebagai contoh krisis di Myanmar," kata Oh.
Beliau berkata Malaysia mengambil pendirian yang tegas dalam isu Myanmar dan berharap Malaysia bolehkan mengumpulkan kuasa diplomatik seperti Indonesia dan negara-negara lain untuk memainkan peranan lebih aktif dalam menangani isu itu.
Mengenai lawatan tiga hari Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kongres Rakyat Kebangsaan (NPC) China ke-14 Zhao Leji mulai hari ini, Oh berkata Zhao ialah merupakan pemimpin nombor tiga di China
"China ialah mengenai perdagangan dan pelaburan. Maka, lawatan (Zhao) ke sini saya harap merupakan satu lagi langkah memastikan janji-janji pelaburan membuahkan hasil kerana kami memerlukan perdagangan dan pelaburan seperti ini," kata Oh.
Sementara itu, seorang lagi jemputan program itu, Dr Noor Nirwandy Mat Noordin, penganalisis politik dan keselamatan daripada Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi Universiti Teknologi Mara berkata kesedaran bahawa kewartawanan digital dan multimedia (MoJo) memerlukan kepakaran adalah penting dan pelajar serta pengamal industri media perlu bersedia untuk menerimanya.
Beliau berkata terdapat keperluan untuk melihat kajian semula kurikulum dan menggabungkan semua kurikulum berkaitan MoJo dalam pengajian media kerana ia berlaku di kebanyakan universiti.
"Penting untuk mempunyai keupayaan memahami istilah-istilah MoJo dan bagaimana MoJo boleh meningkatkan dan mempercepatkan proses media dalam industri dan juga negara," katanya sambil menambah terdapat juga juga keperluan mengenal pasti inovasi yang mampu membantu pembelajaran MoJo," katanya.
-- BERNAMA
#ASEAN #pelaburan #pelarian #Mojo
;