Anwar harumkan kembali nama Malaysia di mata dunia - Nazri

Irwan Muhammad Zain
September 26, 2023 20:30 MYT
Mohamed Nazri menjelaskan, ucapan tegas dan berani Anwar terhadap tindak-tanduk Israel terhadap Palestin mendapat perhatian banyak pemimpin negara lain. - Gambar fail/Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Ucapan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika Persidangan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang ke-78 baru-baru ini mengharumkan kembali nama Malayia.
Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz menjelaskan, ucapan tegas dan berani Anwar berhubung tindak-tanduk Israel terhadap Palestin mendapat perhatian banyak pemimpin negara lain.
Katanya, ucapan Anwar yang mengutuk sikap hipokrit PBB ke atas Palestin juga mendapat pujian ramai pihak.
"Ada ramai orang Yahudi yang merupakan penyokong kuat Benjamin Netanyahu telah menyatakan rasa kagum terhadap keberanian Anwar.
"Mereka mulanya tidak mengenali siapa Anwar dan ingin tahu lebh lanjut tentang Anwar yang dianggap seorang pemimpin yang berani dan lantang mengkritik Israel dan PBB," katanya kepada Astro AWANI.
Beliau menjelaskan, kritikan Anwar terhadap Myanmar juga turut mendapat perhatian banyak pihak termasuk pemimpin negara luar.
Katanya, dalam ucapan tersebut Anwar dengan jelas menyatakan pandangan Malaysia yang tidak senang dengan sikap Myanmar yang memburu rakyat sendiri.
Mengulas sindiran bebarapa pemimpin pembangkang tentang kehadiran pemimpin dunia ketika Anwar berucap, Mohamed Nazri menjelaskan, apa yang diperkatakan oleh pemimpin pembangkang adalah tidak benar.
"Ketika sidang PBB ini sama seperti sidang parlimen, masa perasmian penuh la dewan dan bila persidangan ada yang berada dalam bilik masing-masing dan mengikuti secara live menerusi telefon atau iPad.
"Jadi orang macam Sanusi yang tidak hadir tetapi nak bercakap ini kita anggap macam 'katak bawah tempurung'.
"Mereka ini tidak boleh hidup kalau tidak berbohong, apa sahaja yang boleh mereka tipu dan spin (putar belit), mereka akan lakukan,
"Kalau orang macam Sanusi yang berucap di PBB mungkinlah orang akan mentertawakan Malaysia, bukan mengkagumi negara kita," katanya lagi.
Beliau juga menjelaskan, pendekatan soft diplomacy yang dibawa oleh Malaysia juga turut diterima masyarakat antarabangsa.
Katanya, khutbah Jumaat yang sampaikan oleh Anwar diikuti dengan baik oleh komuniti Islam di New York.
“Anwar adalah satu-satunya pemimpin Islam yang diundang untuk menyampaikan khutbah di masjid tersebut.
“Ramai masyarakat Islam di New York yang kagum dengan khutbah yang disampaikan beliau,” ujar beliau.
Selain itu, pemimpin-pemimpin perniagaan di Amerika Syarikat juga menyatakan komitmen mereka untuk datang melabur di negara ini.
"Ketika berinterkasi dengan 15 syarikat terkemuka AS yang tersenarai dalam Fortune 500 termasuk Airbnb, Amazon, Amazon Web Services, Boeing, ConocoPhillips dan Kimberly-Clark di Harvard Club, jelas menunjukkan minat mereka untuk melabur di Malaysia.
"Mereka telah menyatakan komitmen untuk datang ke Malaysia dan bertemu sekali lagi dengan PM ketika sidang kemuncak Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) Npvember nanti," katanya.
Mohamed Nazri juga menjelaskan, selain diterima masyarakat antarabangsa, kehadiran Anwar turut disambut baik oleh diaspora Malaysia di Amerika Syarikat.
Katanya, seramai 1,000 orang hadir ketika majlis makan malam Perdana Menteri bersama diaspora Malaysia di Amerika Syarikat.
#Anwar Ibrahim #Perdana Menteri #Mohamed Nazri Abdul Aziz #Malaysia #PBB #UNGA78 #Palestin #Israel #Myanmar
;