Anwar harap terminal baharu LTSIP jana lebih banyak peluang ekonomi di Kelantan

Bernama
Mei 2, 2024 23:03 MYT
Perdana Menteri berkata infrastruktur itu juga diharap mampu menerokai kemajuan dan pembangunan agar terus dirasai di negeri berkenaan. - Gambar FB Anwar Ibrahim
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berharap terminal baharu Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) fasa satu, yang mula beroperasi semalam, mampu menjana lebih banyak peluang ekonomi di Kelantan.
Menerusi perkongsian di laman Facebook, Perdana Menteri berkata infrastruktur itu juga diharap mampu menerokai kemajuan dan pembangunan agar terus dirasai di negeri berkenaan.
"Saya difahamkan, infra baharu tersebut dijangka bakal menerima penerbangan antarabangsa pada hujung tahun ini menerusi pelbagai perancangan menarik yang telah disusun pihak terkait," kata beliau.
Terdahulu, ketibaan Anwar pada 3.20 petang di LTSIP hari ini disambut oleh Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Nassuruddin Daud sebelum beliau meluangkan masa hampir 30 minit beramah mesra dengan orang awam dan meninjau kemudahan baharu di LTSIP.
Pengoperasian fasa satu terminal itu mampu menampung 1.5 juta penumpang manakala pembinaan fasa dua akan dilaksanakan serta-merta dan dijangka dapat menampung empat juta penumpang.
Terminal baharu itu memiliki lebih 20 kaunter penerbangan, parkir kenderaan bertingkat, laluan khas untuk pemandu teksi, balai bomba dan penyelamat terminal, pertambahan ruang tempat meletak kapal terbang serta sistem operasi tanpa tunai LTSIP untuk memudahkan penumpang.
Projek pembesaran dan naik taraf LTSIP membabitkan kos RM440 juta.
-- BERNAMA
#Facebook #LTSIP #memudahkan penumpang #penerbangan antarabangsa
;