Anwar hadir di Mahkamah Persekutuan bagi permohonan akhir ketepi hukuman

Rahimah Abdullah
Oktober 12, 2016 11:18 MYT
Anwar tiba kira-kira jam 8.45 pagi dengan menaiki kenderaan Jabatan Penjara Malaysia. - Gambar fail
Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini hadir di Mahkamah Persekutuan Putrajaya bagi permohonan akhirnya menggunakan saluran perundangan untuk mengetepikan sabitan dan hukuman penjara lima tahun kerana meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan, 31.
Anwar mahu Mahkamah Persekutuan mengguna pakai Aturan 137 Kaedah-kaedah Mahkamah Persekutuan 1995 dan membuat semakan terhadap keputusan panel lima hakim diketuai oleh Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria.
Anwar tiba kira-kira jam 8.45 pagi dengan menaiki kenderaan Jabatan Penjara Malaysia.
Turut hadir Presiden PKR, Datuk Seri Dr Azizah Wan Ismail, Naib Presidennya, Nurul Izzah, Tian Chua, Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang, dan Ahli Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar.
Ketika ini, perbicaraan mengenai semakan kehakiman itu sedang berlangsung selepas dimulakan kira-kira jam 9 pagi tadi.
Sementara itu, lebih seribu penyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim membanjiri perkarangan Mahkamah Persekutuan Putrajaya sebagai solidariti ke arah usaha membebaskan Bekas Ketua Pembangkang itu.
Ia berlangsung secara aman dengan disertai kehadiran barisan pemimpin pembangkang termasuk Naib Presiden PKR, Tian Chua dan Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin.
BERITA LANJUT MENYUSUL
#Anwar Ibrahim #hukuman penjara #Mahkamah Persekutuan
;