Anwar gesa adakan sidang Parlimen bahas projek nasional guna dana rakyat

Astro Awani
April 16, 2022 21:42 MYT
Anwar berkata semua projek-projek nasional seperti MRT, DNB, MySejahtera dan Sapura perlu diberi penjelasan segera. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa agar diadakan satu sidang Parlimen bagi membahaskan beberapa projek yang melibatkan dana rakyat.
Anwar menjelaskan, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri perlu memberikan penjelasan berhubung perincian projek-projek yang menggunakan dana rakyat dengan jumlah yang besar.
"Usah jadikan Memorandum Persefahaman (MoU) sebagai alasan untuk diinjak prinsip ketelusan dan kebertanggungjawaban.
"Kerajaan perlu segera tangani beberapa isu besar antaranya mengenai pengurusan kerajaan, penyalahgunaan kuasa dan keputusan yang melibatkan berbilion ringgit duit rakyat yang tidak dibentangkan secara telus kepada rakyat.
"Perkara ini ternyata membimbangkan dan saya desak supaya diberi perhatian segera sebelum ia kian parah dan semakin berterusan," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Beliau menegaskan, projek-projek seperti Mass Rapid Transit (MRT), Digital Nasional Berhad (DNB), MySejahtera dan Sapura perlu segera diberi perhatian sebelum ia bertambah parah.
#Anwar Ibrahim #projek nasional #dana rakyat #Perdana Menteri #ismail sabri yaakob #MRT #DNB #MySejahtera
;