Anwar gagal ketepi keputusan kes liwat II

Rahimah Abdullah
Disember 14, 2016 11:40 MYT
Hakim membuat keputusan itu selepas meneliti penghujahan dan melihat permohonan itu tidak mempunyai merit dan tidak sempurna. - Gambar fail
Mahkamah Persekutuan menolak permohonan semakan semula Bekas Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap kehakiman keputusan mahkamah itu yang mengekalkan sabitan kesalahan dan hukuman penjara kerana meliwat.
Keputusan dibuat sebulat suara lima panel Hakim Mahkamah Persekutuan diketuai Hakim Besar Malaya, Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin.
Hakim membuat keputusan itu selepas meneliti penghujahan dan melihat permohonan itu tidak mempunyai merit dan tidak sempurna.
Anwar memohon untuk mengetepikan sabitan dan hukuman penjara lima tahun oleh Mahkamah Rayuan pada 7 Mac 2014 kerana mendapatinya bersalah meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd Saiful Bukhari Azlan, 31.
Anwar memohon Mahkamah Persekutuan menggunakan Peraturan 137 Peraturan-peraturan Mahkamah Persekutuan 1995 dan menyemak semula keputusan panel lima anggota yang diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Arifin Zakaria.
Anwar, 69, sedang menjalani hukuman penjara lima tahun di Penjara Sungai Buloh setelah Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman yang dikenakan Mahkamah Rayuan terhadapnya pada 10 Feb 2015.
Beliau setakat ini telah menjalani hukuman penjara selama hampir setahun 10 bulan.
Anwar didakwa meliwat bekas pembantunya itu di Unit 11-5-1, Kondominium Desa Damansara, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara di sini antara 3.10 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun 2008.
#Anwar Ibrahim #kes liwat ii #rayuan
;