Anwar dicadang jadi Menteri Tugas Khas, ini reaksi Tun M

Harits Asyraf Hasnan
Disember 3, 2019 13:04 MYT
Menurut Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, tidak semestinya untuk beliau bersetuju dengan cadangan Penasihat Komunikasi dan Medianya mengenai cadangan lantik Anwar sertai Kabinet. - Gambar fail BERNAMA
Cadangan supaya Datuk Seri Anwar Ibrahim dilantik sebagai Menteri Tugas Khas hanyalah pandangan peribadi Datuk Abdul Kadir Jasin.
Menurut Tun Dr Mahathir Mohamad, tidak semestinya untuk beliau bersetuju dengan cadangan Penasihat Komunikasi dan Medianya itu.
Kata Perdana Menteri, bukan hanya pandangan Kadir, bahkan semua cadangan yang dikemukakan kepadanya oleh mana-mana pihak mengenai rombakan Kabinet juga tidak semestinya dipersetujui beliau.
"Itu (cadangan melantik Anwar sebagai Menteri Tugas Khas) pendapat dia, di Malaysia ini kita bebas bersuara dan sesiapa pun boleh buat apa-apa cadangan.
"Saya dengar semua orang punya cakap, tak semuanya kita setuju. Cadangan mengenai rombakan Kabinet ini adalah seiring dengan kebebasan bersuara dan boleh bertanya apa-apa sahaja mengenainya.
"Tetapi, sama ada saya mahu memberi maklum balas atau tidak, itu adalah keputusan saya dan hanya saya yang tahu," katanya pada sidang media di lobi Parlimen hari ini.
Pada Isnin, Abdul Kadir mencadangkan supaya Anwar yang juga Presiden PKR dilantik sebagai Menteri Tugas Khas susulan keputusan Dr Mahathir mahu merombak Kabinet susulan kekalahan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai.
BACA: 'Tun M boleh lantik Anwar jadi Menteri Tugas Khas' - Kadir Jasin
#Abdul Kadir Jasin #Anwar Ibrahim #Mahathir Mohamad #menteri tugas khas #Pakatan Harapan #Perdana Menteri #pilihan raya
;