Anwar di balik tirai besi: bukan seperti banduan

Bernama
November 13, 2015 16:12 MYT
Anwar dihukum penjara lima tahun pada Februari lepas kerana meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan yang berusia 23 tahun ketika kesalahan itu dilakukan pada 2008. - Gambar Fail
Di satu sudut, terletak sebuah katil hospital bernilai RM5,000, dan di sudut yang lain terdapat pancuran mandi air panas dan sejuk, yang dilitupi langsir untuk memastikan privasi selain menutupi tandas duduk. Sebuah kipas dinding pula menghadap ke sebuah meja tulis.
Inilah sel Datuk Seri Anwar Ibrahim di Penjara Sungai Buloh, dan beliau tidak dikurung di dalamnya. Beliau dibenarkan bergerak bebas di koridor sepanjang 50 meter. Dan di luarnya pula, terletak kawasan yang boleh dikunjungi Anwar pada waktu petang.
Pihak berkuasa tidak melanggar sebarang peraturan untuk menempatkan Anwar, yang mengalami kecederaan bahu yang kronik tetapi tidak mengancam nyawa, akibat kemalangan jalan raya.
"Tetapi kita longgarkan banyak peraturan," kata seorang pegawai kanan Kementerian Kesihatan, yang memberi gambaran tentang sel Anwar.
Beliau berkata pihak berkuasa Penjara Sungai Buloh juga mengesahkan bahawa sel Anwar dicuci setiap hari bagi memastikan ia sentiasa bersih.
Pegawai itu berkata demikian bagi menjawab tuduhan para penyokong Anwar yang mendakwa pemimpin mereka dikurung di dalam sel yang kotor.
Bagi rawatan perubatannya pula, seramai 17 pakar telah merawat Anwar yang pada masa ini mempunyai panel perubatan enam pakar untuk memantau keadaan fizikalnya.
Enam pakar itu – tiga dari Hospital Kuala Lumpur, dua dari Kementerian Kesihatan dan seorang dari sektor swasta – terkandung dalam tiga syor yang dikemukakan kepada Anwar pada 28 Ogos lepas.
Syor pertama ialah meneruskan rawatan konservatif, syor kedua melakukan pembedahan Artroskopik yang memerlukan invasif yang minimum dan syor ketiga melakukan pembedahan menggantikan sendi bahu.
Pada 28 Sept, seorang pakar pilihan Anwar telah memeriksa bekas ketua pembangkang berusia 68 tahun itu dan bersetuju dengan tiga syor yang dikemukakan itu serta memintanya membuat pilihan.
Berdasarkan rekod, Anwar telah bertemu doktor di Penjara Sungai Buloh sebanyak 78 kali, doktor pakar panel di Penjara Sungai Buloh sebanyak 27 kali dan mengadakan pertemuan fisioterapi di Penjara Sungai Buloh sebanyak 12 kali.
Dari Februari hingga 28 Okt lepas, Anwar telah berjumpa dengan keluarganya di Penjara Sungai Buloh sebanyak 13 kali, di hospital (10 kali) dan di mahkamah (10 kali).
Sementara itu, isteri beliau Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail yang juga Presiden PKR dilaporkan telah mendesak supaya Anwar dirawat di luar negara.
Tetapi pegawai berkenaan berkata Anwar tidak perlu mendapatkan rawatan di luar negara.
Menurutnya Akta Penjara 1995 tidak membenarkan banduan dirawat di kemudahan bukan kerajaan atau mendapat rawatan di luar negara kerana segala keperluan rawatan sedia wujud di negara ini.
"Kita mempunyai peralatan dan kepakaran untuk melakukan pembedahan Artroskopik atau pembedahan menggantikan sendi bahu - tidak kira mana satu yang dipilihnya.
"Kita terkenal dengan pembedahan ini. Malah, ramai orang dari seluruh rantau ini datang ke negara kita untuk melakukan kedua-dua pembedahan ini,"kata pegawai itu.
"Terutamanya pembedahan Artroskopik yang senang dilakukan dan selalu dilakukan,” katanya.
Beliau berkata Anwar boleh ditempatkan di hospital selama tiga hingga empat minggu selepas pembedahan sehingga semua jahitan dikeluarkan dan tiada bahaya jangkitan.
Jika Anwar masih mahukan pakar asing merawatnya di sini, "kita akan permudahkannya. Tiada masalah," kata pegawai itu.
Beliau juga berkata Anwar dilayan dengan penuh hormat pada setiap masa.
"Malah, kami memberi diet khas kepada beliau termasuk bijirin, madu, kismis dan kurma dengan mengambil kira keadaannya, " kata beliau.
Pakar-pakar perubatan juga berharap Anwar dapat membuat keputusannya dengan lebih awal bagi membolehkan mereka melakukan pembedahan pada 1 Nov lepas.
"Kami berharap beliau dapat membuat keputusan dengan secepat mungkin,” kata pegawai itu.
Anwar dihukum penjara lima tahun pada Februari lepas kerana meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan yang berusia 23 tahun ketika kesalahan itu dilakukan pada 2008.
#Akta Penjara 1995 #Anwar Ibrahim #liwat #Mohd Saiful Bukhari Azlan #Penjara Sungai Buloh
;