Anwar dan Azizah luangkan masa tonton konsert
Bernama
Oktober 6, 2018 00:51 MYT
Oktober 6, 2018 00:51 MYT
Dalam kesibukan berkempen pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson, calon Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sempat meluangkan masa bersama menonton konsert di PD Waterfront di sini malam tadi.
Ketua Umum PKR yang berkemeja biru tiba tapak konsert PICNIC@PD sekitar 10.30 malam dan disusuli kehadiran Dr Wan Azizah yang juga Presiden PKR dan Timbalan Perdana Menteri, 20 minit kemudian.
Pasangan itu yang hadir secara berasingan disambut sorakan gemuruh lebih dari 2,000 pengunjung yang mula membanjiri kawasan itu seawal 8 malam.
Turut hadir beberapa pemimpin parti komponen PH termasuk Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara Khalid Abdul Samad yang juga Menteri Wilayah dan bekas anggota Parlimen Port Dickson, Datuk Danyal Balagopal Abdullah.
Suasana konsert riuh dengan sorakan apabila kemesraan pasangan pemimpin itu yang berjalan berpegangan tangan naik ke pentas utama menjadi perhatian pengunjung.
Pengunjung yang hadir turut mengambil kesempatan berswafoto bersama kedua-dua pemimpin itu.
Konsert percuma itu dianjurkan Kelab Anwar Ibrahim (AIC) dan berlangsung selama dua hari sejak semalam menampilkan penyanyi terkemuka tanah air Datuk M. Nasir, Datuk Hattan, Wany Hasrita dan Ito.
#Anwar Ibrahim
#Danyal Balagopal Abdullah
#Hattan
#Khalid Abdul Samad
#M Nasir
#Pakatan Harapan
#Parti Amanah Negara
#pilihan raya kecil
#PKR
#PRK Port Dickson
#Wan Azizah
#Wany Hasrita