Anwar dan 5 lagi dilepas tanpa bebas
Astro Awani
Januari 11, 2014 08:15 MYT
Januari 11, 2014 08:15 MYT
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan lima lagi, dilepas tanpa dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Jumaat daripada pertuduhan mengikut Akta Perhimpunan Aman 2012 berhubung perhimpunan Bersih 3.0, dua tahun lalu.
Hakim Ahmad Bache, dalam penghakimannya, turut menolak permohonan pihak pendakwaan untuk menangguhkan perbicaraan sementara menunggu permohonan di Mahkamah Persekutuan.
Menurut Ahmad Bache, permohonan pembelaan dibenarkan kerana pertuduhan tidak berasas dan cacat.
Pada 22 Mei 2012, Anwar, 65 tahun, dituduh secara bersama-sama dengan Mohamed Azmin, 49 tahun dan Badrul Hisham, 35 tahun, menyertai protes jalanan di Dataran Merdeka pada 28 April tahun sama.
Mereka didakwa mencetuskan huru-hara di ibu negara.
Ketiga-tiga mereka turut menghadapi pertuduhan kedua iaitu bersubahat dengan Tangam Raju, Rajesh Kumar dan Farhan Ibrahim dengan cara menghasut mereka untuk mengalih penghadang besi di Jalan Raja pada hari sama.
Bagi perbuatan itu mereka didakwa mengikut Seksyen 4(2)(c) Akta Perhimpunan Aman 2012, yang membawa hukuman denda maksimum RM10,000, jika sabit kesalahan.