Anwar bidas MPPP roboh rumah warga emas

Bernama
November 15, 2012 15:04 MYT
Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengkritik tindakan Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) meroboh rumah seorang warga emas di Lengkok Sungai Gelugor, di sini Khamis lepas.
Beliau mempersoalkan tindakan MPPP itu memandangkan arahan untuk tidak merobohkan rumah berkenaan telah dikeluarkan kerajaan negeri.
"Kalau ada ahli majlis dari Pakatan Rakyat yang terlibat, saya akan tentukan orang seperti ini tidak perlu dilanjutkan kerana dia tidak prihatin permasalahan rakyat," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan ucaptama di wacana 'Islam dan Melayu: Martabat Umat dan Daulat Rakyat' sempena sambutan Maal Hijrah peringkat negeri di sini. Turut hadir Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Abdul Rahman Abbas dan Timbalan Ketua Menteri I Datuk Mansor Osman.
Anwar yang juga anggota Parlimen Permatang Pauh menggesa kerajaan negeri menyiasat sama ada terdapat kecuaian di peringkat pegawai atau ahli majlis.
Baru-baru ini akhbar melaporkan penguatkuasa MPPP meroboh bahagian depan rumah milik Mariam Tahir, 72, tanpa mengeluarkan sebarang notis terlebih dahulu kerana strukturnya tidak mengikut peraturan ditetapkan.
#Datuk Seri Anwar Ibrahim #Majlis Perbandaran Pulau Pinang #pulau pinang #warga tua
;