Anwar bertemu PM Lee Hsien Loong dalam majlis minum petang
Shafizan Johari
September 13, 2023 18:21 MYT
September 13, 2023 18:21 MYT
SINGAPURA: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan pertemuan bersama Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong dalam satu majlis minum petang pada Rabu.
Pertemuan berkenaan yang diadakan di The Istana dibuat sempena lawatan kerja Perdana Menteri ke Singapura yang berlangsung selama sehari.
Terdahulu Anwar memaklumkan bahawa pertemuan bersama rakan sejawatnya itu hanyalah pertemuan tidak rasmi, tetapi masih menyentuh beberapa perkara penting.
Menteri Kewangan itu juga memaklumkan antara perkara yang mungkin disentuh ialah tentang isu perumahan pekerja warga Malaysia di Singapura.
Dianggarkan sekitar 1.13 juta warga Malaysia kini mencari rezeki di republik ini.
Terdahulu, delegasi Anwar tiba untuk lawatan kerja ke Singapura dengan pesawat khas di Lapangan Terbang Antarabangsa Changi pada jam 10.30 pagi tadi, disambut Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Singapura Datuk Azfar Mohamad Mustafar.
Anwar kemudian turut serta dalam Sidang Kemuncak Asia ke-10 anjuran Milken Institute di mana beliau terlibat dalam sesi “A Conversation with the Prime Minister of Malaysia” yang dikendalikan oleh pengacara dan ketua koresponden antarabangsa untuk Asia Tenggara, Bloomberg Haslinda Amin dan disiarkan di platform media sosial Astro AWANI.