Anwar bawa mandat Dewan Rakyat kecam kekejaman Israel di Arab Saudi minggu depan

Ridauddin Daud
November 4, 2024 11:30 MYT
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Malaysia juga akan membawa mandat Dewan Rakyat, mengecam pencerobohan dan pemusnahan pusat-pusat ibadah di Wilayah Palestin Yang Diduduki (OPT) pada persidangan itu.
KUALA LUMPUR: Malaysia akan membawa usul menghentikan kekejaman Israel terhadap Palestin pada Sidang Kemuncak Bersama Tergempar Negara-Negara Arab dan Islam pada 11 November ini di Riyadh, Arab Saudi.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Malaysia juga akan membawa mandat Dewan Rakyat, mengecam pencerobohan dan pemusnahan pusat-pusat ibadah di Wilayah Palestin Yang Diduduki (OPT) pada persidangan itu.
Selain itu, katanya, serangan terbuka ke atas wilayah-wilayah di Lubnan dan Iran, termasuk pembunuhan Ismail Haniyeh dan Yahya Sinwar juga akan dibangkitkan di Arab Saudi pada Isnin depan.
“Selain itu juga, persidangan ini akan membincangkan permasalahan semasa yang dihadapi oleh Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Untuk Pelarian Palestin di Asia Barat (United Nations Relief and Works Agency for Palestine Refugees in the Near East - UNRWA).
“Ia berikutan keputusan rejim Israel mengharamkan operasi pertubuhan bantuan kemanusiaan tersebut pada 28 Oktober 2024 baru-baru ini.
“Adalah penting bagi Malaysia dan komuniti antarabangsa mengutuk jenayah genosid di Palestin, memberi tekanan ke atas Israel untuk melaksanakan gencatan senjata dengan segera.
“Ia adalah bagi membolehkan bantuan ubat, makanan dan keperluan kemanusiaan lain dihulurkan kepada rakyat Palestin. Maka inisiatif yang diambil Arab Saudi dan negara Arab dan Islam tentu akan memberi tekanan.
“Kehadiran kita akan memberi gesaan supaya keputusan-keputusan lebih berkesan dan tindakan susulan akan lebih bermakann bagi pemebeasan Palestin. Ini termasuklah cadangan menggerakkan Special Committee against Apartheid di PBB ke atas Israel,” katanya.
Tambah beliau, Malaysia akan mengusulkan ke Persidangan Kemuncak Negara-Negara Arab dan Islam agar sokongan sepenuhnya diberikan kepada UNRWA dalam melaksanakan mandatnya
“Malaysia berhasrat menggunakan Sidang Kemuncak ini untuk meraih sokongan negara-negara Arab dan Islam terhadap inisiatif tersebut dan menghalang pelaksanaan keputusan Parlimen Israel (Knesset) pada 28 Oktober 2024 lalu.
“Keputusan itu bertujuan melenyapkan UNRWA dan memburukan situasi kemanusiaan di utara Gaza yang mengalami kebuluran setelah terputus bantuan asas sejak sekian lama.
“Salah satu pendekatan yang boleh diambil adalah bagi Sidang Kemuncak Negara-Negara Arab dan Islam memberi sokongan kepada usaha mediasi gencatan senjata oleh Amerika Syarikat, Mesir, dan Qatar.
“Sejak Mei lepas, ketiga-tiga negara ini telah membangunkan satu kerangka perjanjian yang perlu dipersetujui oleh semua pihak yang terlibat,” ujar beliau.
Dalam pada itu, Anwar berkata, berikutan konflik yang memuncak sejak Oktober 2023, Malaysia juga telah menyumbang bantuan kewangan tambahan berjumlah US$5.2 juta kepada UNRWA.
“Walau bagaimanapun, kedudukan kewangan UNRWA masih berada dalam keadaan defisit sebanyak US$ 80 juta.
“Sokongan berterusan Malaysia terhadap UNRWA mendapat penghargaan daripada Philippe Lazzarini, Pesuruhjaya Agung UNRWA, yang telah dizahirkan kepada Menteri Luar Negeri (Datuk Seri Mohamad Hasan) semasa Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Ke-79 yang lalu.
“Beliau turut memohon agar Malaysia membantu Agensi tersebut meraih sokongan Negara-Negara Sepemikiran mempertahankan dan memperkasakan mandat dan kebolehupayaannya untuk terus memberi perkhidmatan kepada rakyat Palestin,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam Sesi Penerangan Khas berkaitan perkembangan terkini isu Palestin di Dewan Rakyat pada Isnin.
#Anwar Ibrahim #Palestin #UNRWA #Malaysia
;