Anwar bantu empat keluarga di Parlimen Tambun keluar dari kemiskinan tegar

Bernama
Februari 13, 2025 18:48 MYT
Sumbangan itu disampaikan oleh Setiausaha Politik Perdana Menteri Datuk Ahmad Farhan Fauzi (empat, kanan) dalam siri Ziarah MADANI bagi mengurangkan beban keluarga berkenaan.- Foto FB Anwar Ibrahim
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan sumbangan kepada empat keluarga daripada kategori miskin tegar di Parlimen Tambun hari ini, sebagai usaha membantu mereka keluar sepenuhnya daripada kemiskinan tegar.
Sumbangan itu disampaikan oleh Setiausaha Politik Perdana Menteri Datuk Ahmad Farhan Fauzi dalam siri Ziarah MADANI bagi mengurangkan beban keluarga berkenaan.
"Setiap keluarga ini menghadapi cabaran yang berbeza, ada yang bekerja tetapi tidak mempunyai pendapatan tetap, ada yang terpaksa menjaga ahli keluarga OKU, ada yang menguruskan ibu bapa yang uzur dan ada juga yang perlu menanggung kos perubatan anak yang sakit.
"Namun kesemuanya berkongsi satu keperluan yang sama, iaitu sokongan dan bantuan untuk keluar daripada kitaran kemiskinan tegar," kata Ahmad Farhan dalam hantaran menerusi Facebook hari ini, yang turut dikongsikan Anwar.
Beliau berkata hasil koordinasi bersama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), keempat-empat keluarga itu kini telah keluar daripada kategori miskin tegar setelah menerima bantuan bulanan, dengan pendapatan melebihi RM312 sebulan.
Ahmad Farhan berkata mereka turut menerima bantuan daripada Zakat Negeri Perak dan Sumbangan Tunai Rahmah (STR).
Beliau berkata usaha tersebut bukan sekadar bantuan sementara, tetapi satu langkah konkrit untuk memastikan mereka dapat berdikari dan membina kehidupan yang lebih baik.
"Kerajaan MADANI komited untuk terus membantu golongan yang memerlukan, agar tiada siapa yang tercicir dalam usaha membasmi kemiskinan tegar di negara ini," katanya.
-- BERNAMA
#Anwar Ibrahim #sampaikan sumbangan #parlimen tambun #kemiskinan tegar
;