Anwar bantah bahas usul Petronas jual aset di Azerbaijan di Kamar Khas

Hasimi Muhamad
Oktober 27, 2021 11:56 MYT
Pada 25 Oktober lalu, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengemukakan usul supaya isu penjualan aset gas Petronas di Azerbaijan dibahaskan di Dewan Rakyat - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Usul berhubung penjualan aset gas Petronas di Azerbaijan dipersetujui untuk dirundingkan di Persidangan Kamar Khas pada pukul 2.30 petang ini.
Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun membuat keputusan tersebut selepas meneliti usul yang dikemukakan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim (PH-Port Dickson) bahawa di bawah perkara tertentu, kepentingan orang ramai serta perlu disegerakan.
"Oleh demikian saya membenarkan usul ini untuk dirunding pada hari ini di Kamar Khas pada jam 2.30 petang," kata Azhar di Dewan Rakyat pada Rabu.
Bagaimanapun, Anwar yang juga Ketua Pembangkang membantah dengan menegaskan, usul tersebut sepatutnya dibahaskan secara terbuka di Dewan Rakyat kerana ia melibatkan kesan kepada ekonomi negara dan masa depan syarikat minyak tersebut.
"Oleh demikian, walaupun saya hargai keputusan Yang di-Pertua untuk membenarkan perbahasan, tetapi sepatutnya hal yang menyentuh kepentingan negara dan ekonomi negara yang diakui sendiri, maka sewajarnya Dewan (Rakyat) yang patut membahaskan," katanya.
Pada 25 Oktober lalu, Anwar mengemukakan usul supaya isu penjualan aset gas Petronas di Azerbaijan dibahaskan di Dewan Rakyat.
Menerusi surat yang diutuskan kepada Azhar, Anwar berkata usul itu dikemukakan di bawah Peraturan Mesyuarat 18(1) dan 18(2) Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.
Azhar kemudian berkata, keputusan untuk membahaskan usul tersebut di Kamar Khas turut mengambil kira Aturan Urusan Mesyuarat dan usul-Usul yang perlu dibentangkan di Dewan Rakyat, hari ini.
Namun, Anwar sekali lagi berpandangan usul tersebut wajar dibahaskan di Dewan Rakyat sebelum Pembentangan Belanjawan 2022 walaupun dalam tempoh yang singkat.
Menjawab perkara yang dibangkitkan Anwar itu, Azhar berkata: "Prosiding di Kamar Khas mahupun di dewan boleh dilihat oleh ramai dan akan dirakam serta direkodkan dalam handsard. Jadi, tiada perbezaan pun (sama ada dibahaskan di Dewan Rakyat atau Kamar Khas)."
#Anwar Ibrahim #Dewan Rakyat #Kamar Khas #Petronas
;