Anwar bangga badan penguatkuasaan berani ambil tindakan terhadap perasuah, penjenayah

Bernama
Februari 9, 2024 16:21 MYT
Anwar menggesa penjawat awam untuk membantu usaha kerajaan menyelamatkan negara dan menolak amalan rasuah. - Gambar/ Bernama
MELAKA: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan tahniah kepada badan penguatkuasaan di negara ini dan bangga atas keberanian mereka mengambil tindakan tegas terhadap perasuah dan penjenayah.
Beliau berkata tindakan profesional Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri terhadap kumpulan yang merompak kekayaan negara mampu membawa perubahan kepada negara agar kembali hebat serta dikagumi dunia selain menyelesaikan masalah rakyat.
"Kita sekarang mengeluh hutang terkumpul mencecah hampir RM1.5 trilion, mahu belanja (dianggap) tidak bertanggungjawab, mahu cermat takut menjejaskan bidang pendidikan, penduduk miskin, kesihatan dan lain-lain.
"Sebab itu saya kata biar ada satu mesej jelas... apapun mahu disergah saya tidak peduli, sebaik sahaja kamu punggah kekayaan negeri untuk kepentingan peribadi atau keluarga, kami tetap bertindak, tangkap dan dakwa kamu baharulah kita boleh jamin keselamatan negara masa akan datang," katanya.
Perdana Menteri berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perjumpaan Bersama Penjawat Awam Negeri Melaka yang turut dihadiri Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka Ayer Keroh di sini hari ini.
Anwar memberi contoh tindakan PDRM memberkas dalang sindiket judi di Sabah yang sebelum ini dibiarkan berleluasa selama bertahun-tahun dan sukar diambil tindakan.
Beliau turut meluahkan rasa kesal terhadap segelintir pihak yang mempertikai ketegasan kerajaan mengambil tindakan tegas kepada segelintir individu disyaki terlibat membolot harta negara.
"Ia tidak mudah (ambil tindakan) kerana secara umumnya, semua bersetuju tetapi bila ada tindakan ramai yang mengeluh dan tindakan itu kadang-kadang melibatkan golongan 'maha kaya' yang telah mengumpul kekayaan berbilion ringgit (dan) masih ada yang pertahankan.
"Tetapi bila kita ambil tindakan pada golongan perasuah besar negara timbul kenyataan seperti mengapa dendam, mengapa zalim atau mengapa tidak kira umur, saya (merasa) aneh," katanya.
Beliau turut menggesa penjawat awam untuk membantu usaha kerajaan menyelamatkan negara dan menolak amalan rasuah.
-- BERNAMA
#Anwar Ibrahim #SPRM #Rasuah #maha kaya
;