Anwar bakal bertemu Vladimir Putin, bincang soal ekonomi
Firdaus Azil
Ogos 2, 2024 11:55 MYT
Ogos 2, 2024 11:55 MYT
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bakal mengadakan lawatan ke Vladivostok, Rusia, dalam tempoh beberapa minggu lagi, bagi memenuhi undangan Presiden negara itu, Vladimir Putin.
Beliau berkata, antara perkara utama yang akan dibincang dalam pertemuan tersebut ialah mengenai potensi kerjasama ekonomi yang boleh dikembangkan di antara dua negara.
Katanya lagi, beliau juga ingin menunjukkan kepada dunia bahawa Malaysia adalah sebuah negara yang bebas dan merdeka, dan boleh mengadakan hubungan bilateral dan ekonomi tanpa terikat dengan mana-mana kuasa besar.
“Kita kekal hubungan tradisional dengan Amerika Syarikat yang mempunyai pelaburan tinggi, kerana pelaburan dari soal umpamanya pendigitalan awal, itu banyak pelaburan dari AS, dan Eropah. Saya beberapa minggu lagi akan luncurkan pusat industri bersama Tengku Zafrul di Kulim Hi Tech.
“Di samping itu kita telah meneroka dan ada hubungan sangat Istimewa dengan China, selain Jepun dan Korea yang dianggap rakan tradisional. Ini menguntungkan kita, kerana kita jelas dengan dasar bersahabat dan ambil sikap bebas.
“Beberapa minggu lagi saya akan ke Vladivostok, di pinggir Rusia. Untuk menerima undangan Presiden Putin, berbincang soal kerjasama ekonomi, meletakkan kita sebagai antara negara yang pertahankan pendirian yang bebas, dan tidak ambil sikap untuk bermusuh,” katanya lagi.
Beliau berkata demikian sewaktu berucap merasmikan Ibu Pejabat GXBank dan Pelancaran Pusat Kecemerlangan di ibu negara, pada Jumaat.
Perdana Menteri sebelum ini telah mengumumkan hasrat Malaysia untuk menyertai bloc BRICS - yang terdiri daripada Brazil, Rusia, India, China, dan Afrika Selatan.
Perkara tersebut turut dibincangkan sewaktu beliau menerima kunjungan hormat Menteri Luar Rusia, Sergey Lavrov pada minggu lepas.
Selain lima negara utama tersebut, BRICS turut dianggotai Iran, Mesir, Ethiopia dan Emiriyah Arab Bersatu (UAE), dengan jumlah populasi yang merangkumi 45 peratus, serta 28 peratus keluaran dalam negara kasar global.
Dalam pada itu Perdana Menteri berkata, angka dan data mengenai pertumbuhan ekonomi, pelaburan, pengawalan inflasi, dan pengangguran berada pada tahap yang cukup membanggakan.
“Kita catat sesuatu (pencapaian) yang meletakkan kita pada tahap mampu berdaya saing, dan meniadi negara dikenali sebagai antara hab untuk semikonduktor, dan diterima negara seperti Amerika Syarikat, Eropah, dan China.
“Kita ambil pendekatan lebih terbuka, dasar kita terbuka. Apa saja yang boleh selamatkan bangsa dan negara, dapat memacu pertumbuhan dengan segar, kerangka yang memungkinkan kita berdagang dengan semua negara, dan pertahankan keamanan dan ekonomi, kepentingan ekonomi negara, kita akan bersikap terbuka.
“Kita ambil sikap cukup terbuka bersahabat dengan semua, berdagang dengan semua asalkan Malaysia kekal bebas, merdeka, dan berdaulat,” katanya lagi.