Anwar arah persiapkan prasarana, kemahiran sumber manusia untuk terima pelaburan asing

Bernama
April 4, 2023 10:40 MYT
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan berucap pada Perhimpunan Bulanan Kementerian Kewangan. - Foto BERNAMA
PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan semua kementerian dan jabatan mempersiapkan infrastruktur dan kemahiran sumber manusia untuk menerima pelaburan asing yang kian rancak ke negara ini.
Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata jika pelaburan masuk ke Malaysia tetapi anak tempatan tidak diberi peluang, ia menyebabkan tidak berlaku pemindahan teknologi dan latihan khusus.
Berucap pada majlis perhimpuan bulanan Kementerian Kewangan (MoF) di sini hari ini, Anwar berkata MoF harus membantu menyelaraskan untuk mengetahui apa bidang yang kurang termasuk berkaitan kemahiran sumber manusia sebagai persediaan menerima pelaburan asing.
"Kalau perlu (sediakan) peruntukan khas tambahan untuk beri latihan intensif. Jika tidak mereka (pelabur) terpaksa mengambil pekerja dari luar negara. Ini hal yang harus dipantau dan segerakan tindakan," katanya.
#Anwar Ibrahim #kemahiran sumber manusia #latihan intensif #pemindahan teknologi
;