Anwar arah Kabinet teliti cadangan had tempoh jawatan PM - Fahmi

Firdaus Azil
Mac 19, 2025 17:19 MYT
Fahmi berkata, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengeluarkan arahan itu sewaktu mesyuarat Kabinet yang berlangsung pada Rabu. - Gambar fail/Bernama
PUTRAJAYA: Cadangan untuk mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada 10 tahun akan diteliti oleh Kabinet, kata Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil

Ringkasan AI
  • Cadangan untuk mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada 10 tahun sedang diteliti oleh Kabinet atas arahan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
  • Proses ini adalah rumit dan kompleks, memerlukan pertimbangan mendalam termasuk di peringkat negeri dan pindaan perlembagaan.
  • Langkah ini bertujuan memastikan pentadbiran yang bersih dan sistem yang lebih teratur, serta mengelakkan pemusatan kuasa yang boleh membawa kepada penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa.

Beliau yang juga jurucakap kerajaan berkata, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengeluarkan arahan itu sewaktu mesyuarat Kabinet yang berlangsung pada Rabu.
“Hal ini ada dibincangkan (dalam mesyuarat Kabinet) tetapi ia masih di peringkat awal memandangkan ia adalah proses yang rumit, kompleks dan perlu ada pertimbangan termasuk di peringkat negeri.
“Sebarang perkara yang menjurus ke arah pindaan perlembagaan adalah perkara yang perlu diberi pertimbangan yang mencukupi, mendalam … maka Perdana Menteri minta keseluruhan hal ini diteliti dan dikaji,” katanya lagi.
Cadangan tersebut menjadi perhatian semula apabila dibangkitkan oleh Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook sewaktu berucap di Kongres ke-18 DAP di Shah Alam, pada Ahad.
Anwar yang turut menghadiri kongres tersebut dilaporkan berkata, kerajaan sedia meminda Perlembagaan bagi membolehkan perkara itu direalisasikan, setelah ia mendapat konsensus daripada Dewan Rakyat.
Setiausaha Akhbar Kanan kepada Perdana Menteri, Tunku Nashrul Tunku Abaidah sebelum ini berkata, Perdana Menteri menyifatkan ia seiring dengan visi dan kerangka dasar reformasi yang ditekankan beliau dalam gagasan 'Membangun Negara Madani' kerana ia bukan perkara baharu.
Langkah tersebut, jelasnya lagi, bagi memastikan kesinambungan pentadbiran yang bersih serta sistem yang lebih teratur dan mengelak berlakunya pemusatan kuasa yang berisiko menjadi ruang penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa.
#Fahmi Fadzil #had tempoh PM #Anwar Ibrahim #Perlembagaan Persekutuan #terkini
;