Anwar akui usaha diplomatik hentikan kedegilan, kekejaman Israel tidak berkesan

Ifwan Tun Tuah
Oktober 3, 2024 07:10 MYT
Anwar pada sidang media sempena lawatan negara ke Pakistan, di Islamabad, 4 Okt 2024. Turut kelihatan, Mohamad (kiri) dan Tengku Zafrul (kanan). - Foto BERNAMA
ISLAMABAD: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengakui tidak melihat potensi untuk penyelesaian berkesan melalui usaha diplomatik dalam konflik Asia Barat membabitkan kekejaman Israel di Palestin dan Lubnan.
Beliau berkata, keberanian Israel bertindak sesuka hati di Palestin dan Lubnan, mungkin disebabkan sokongan diterima daripada Amerika Syarikat (AS).
“Setakat ini tak ada (kemungkinan penyelesaian diplomatik mampu hentikan tindakan Israel). Maksudnya… kita sugul (dukacita) kerana kita sedang mendesak untuk (Israel) menghentikan serangan ke Gaza, (namun serangan ) diteruskan di Gaza (malah) diperluaskan ke Lubnan.
“Mula-mula di Selatan Lubnan sekarang terus ke Beirut… lepas ini apa lagi,” katanya.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, Malaysia dan negara-negara Islam lain, malah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah melakukan pelbagai usaha untuk menghentikan kekejaman Israel namun tidak berjaya.
“Di Malaysia saya suarakan.. dan suara Menteri Luar (Datuk Seri Mohamad Hasan di peringkat antarabangsa) itu dah cukup tegas… tapi ia memerlukan komitmen… dengan negara Arab, dengan negara Islam… Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
“Semua telah lakukan tanggungjawab mereka masing-masing. Mungkin tidak sepenuhnya memuaskan… tetapi suatu langkah yang sudah tegas.
“Tetapi Ini kedegilan Israel ini kerana mungkin mereka masih bergantung kepada dukungan (terima sokongan) Amerika Syarikat dan sekutu mereka,” katanya.
Perdana Menteri berkata demikian kepada wartawan Malaysia dalam sidang media pada akhir Lawatan Negara selama tiga hari di Pakistan.
Turut hadir, Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Menteri Perdagangan, Pelaburan dan Industri (MITI) Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.
Anwar tiba di Pakistan pada Rabu dan dijadualkan bertolak ke Bangladesh pagi ini.
Terdahulu, pada sidang media bersama Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif, kedua-dua mereka dilapor senada mengutuk tindakan Israel di Gaza dan Lubnan.
“Masalah ini sudah tentu menjadi lebih genting sekarang dengan peluasan dan lanjutan pencerobohan perang ke Lubnan serta pembunuhan beramai-ramai yang berterusan di Gaza dan Tebing Barat. Kita telah melihat bahawa isu ini bukan perang antara dua negara.
“Ia sepenuhnya satu keangkuhan dan pencerobohan yang mengabaikan semua peraturan asas peraturan antarabangsa serta penderitaan rakyat Palestin selama tujuh dekad, yang dilucutkan hak mereka dan dinafikan hak asasi.
“Dan kita telah melihat bukan sahaja ketidakselarasan, tetapi juga hipokrasi dalam kalangan banyak negara yang kononnya bercakap mengenai hak asasi manusia dan kebebasan, serta mengkritik dunia mengenai hak asasi manusia dan kebebasan, namun jelas sekali sangat memilih dalam membuat keputusan,” katanya.
#Anwar Ibrahim #Pakistan #Israel #Palestin
;