Anwar akan umum tindakan tambahan selepas selesai tinjau banjir di Pantai Timur

Firdaus Azil
Disember 21, 2022 13:46 MYT
Anwar turut mengumumkan pembatalan Sambutan Ambang Tahun Baharu yang lazimnya diadakan pada Disember, selepas mengambil kira tahap bencana banjir besar yang melanda di beberapa negeri. - PMO
PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengumumkan beberapa tindakan berkaitan soal banjir besar yang berlaku di pantai timur, khususnya di Kelantan dan Terengganu.
Dalam satu sidang media di Bangunan Perdana Putra hari ini, Ahli Parlimen Tambun itu berkata, pengumuman itu akan dilakukan selepas beliau selesai meninjau keadaan di sana pada sebelah petang hari ini.
Buat masa ini, Perdana Menteri berkata, Timbalannya Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi telah selesai memantau dan mengambil beberapa tindakan awal, dan laporan mengenai situasi semasa banjir besar itu telah dibentangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri hari ini.
“Tentunya dalam mesyuarat Jemaah Kabinet (hari ini) tertumpu soal banjir di Kelantan dan Terengganu. TPM Ahmad Zahid dah sampai ke sana, memantau dan mengambil beberapa tindakan segera, dan lapor kepada Jemaah Menteri.
“Dan hari ini saya akan ke Kelantan, dan pengumuman soal banjir dilakukan di sana selepas dapat pandangan di lapangan, dan juga daripada Kerajaan Negeri. Pandangan juga telah dikemukakan oleh badan-badan bukan kerajaan dan sukarelawan daripada segi kebajikan dan bantuan, dan penglibatan Angkatan Tentera Malaysia dan beberapa kemudahan sedia ada,” katanya lagi.
Beliau berkata demikian kepada sidang media selepas selesai mempengerusikan Mesyuarat Jemaah Menteri di Bangunan Perdana Putra hari ini.
Selain itu, Perdana Menteri turut mengumumkan pembatalan Sambutan Ambang Tahun Baharu yang lazimnya diadakan pada Disember, selepas mengambil kira tahap bencana banjir besar yang melanda di beberapa negeri, khususnya di Pantai Timur.
Dalam pada itu Anwar berkata Jemaah Menteri turut membincangkan tentang peristiwa yang berlaku dalam sidang Parlimen, khususnya tentang undi percaya terhadap keabsahan beliau selaku Perdana Menteri.
“Kemudian, kita juga bincang sepintas lalu tentang perkembangan di Parlimen dua hari lalu, dan kita tumpu sekarang kepada kerja menjana pertumbuhan ekonomi kerana mandat sudah jelas. Terima kasih kepada TPM kedua Fadillah kerana usul beliau diterima baik, hampir sebulat suara.
“Kalau pengundian ikut blok, majoriti dua pertiga itu memang ada. Saya ucap terima kasih kepada semua parti Kerajaan Perpaduan. Tetapi saya sebut, mandat besar ini adalah untuk kita tumpu perhatian sepenuhnya, menjamin tatakelola urus tadbir lebih berkesan, untuk manfaat kebajikan rakyat dan negara Malaysia,” katanya lagi.
#Anwar Ibrahim #banjir #Pantai Timur #tinjauan
;