Anwar adakan perjumpaan dengan PM Singapura, perkukuh hubungan dua hala

Bernama
Jun 12, 2024 06:41 MYT
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim (dua, kanan) dan isteri Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail (kanan) bersama Lawrence Wong (dua, kiri) dan isteri Loo Tze Lui di Seri Perdana hari ini. - Foto Bernama
PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengadakan perjumpaan dengan rakan sejawatannya dari Singapura Lawrence Wong untuk berbincang mengenai langkah-langkah bagi mengukuhkan hubungan dua hala antara negara.
Wong tiba di Malaysia untuk lawatan kerja dua hari semalam, yang merupakan lawatan sulung beliau selepas dilantik sebagai perdana menteri republik itu pada 15 Mei lepas.
Ketibaan Wong bersama isterinya Loo Tze Lui di kediaman rasmi perdana menteri di Kompleks Seri Perdana pada pukul 1 tengah hari disambut oleh Anwar, sebelum kedua-dua pemimpin mengadakan perjumpaan empat mata.
Turut hadir di Kompleks Seri Perdana ialah Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan Timbalan Menteri Luar Datuk Mohamad Alamin.
Lawatan Wong adalah atas jemputan Anwar. Lawatan ini menekankan komitmen bersama Malaysia dan Singapura dalam mengukuhkan hubungan yang lama terjalin, dan sebagai persediaan bagi sesi Pemukiman Tahunan Pemimpin yang akan dianjurkan oleh Malaysia hujung tahun ini.
Pada 2023 Malaysia dan Singapura masing-masing rakan dagang kedua terbesar di peringkat global serta terbesar dalam kalangan negara ASEAN dengan jumlah dagangan bernilai RM363.13 bilion (AS$ 79.60 bilion).
-- BERNAMA
#Anwar Ibrahim #Perdana Menteri Singapura #Lawrence Wong #Hubungan dua hala #lawatan kerja