Anugerah Toilet Of The Year 2023 untuk tandas awam bertaraf BMW - Nga

Bernama
Oktober 30, 2023 00:17 MYT
Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berkata inisiatif itu, yang juga cetusan idea beliau sendiri, adalah sebagai langkah persiapan untuk Tahun Melawat Malaysia pada 2025. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Anugerah Toilet Of The Year 2023, yang julung kali diadakan, adalah bertujuan memastikan tandas awam di negara ini bertaraf Bersih, Menawan dan Wangi (BMW) selain menaikkan imej Malaysia khususnya dalam kalangan pelancong asing.
Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berkata inisiatif itu, yang juga cetusan idea beliau sendiri, adalah sebagai langkah persiapan untuk Tahun Melawat Malaysia pada 2025.
"Mulai tahun ini, Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) telah mengorak langkah untuk mengubah persepsi masyarakat terhadap kebersihan tandas awam di negara ini dengan meningkatkan pengurusan kebersihan dan keselesaan premis itu yang sebelum ini kurang memuaskan kepada yang bertaraf BMW.
"Anugerah Toilet of The Year Award ini juga adalah satu inisiatif yang amat penting kerana melalui inisiatif inilah tandas awam yang bertaraf BMW dapat diusahakan dengan lebih giat lagi khususnya oleh pihak swasta," katanya ketika berucap pada majlis perasmian acara itu di sini malam ini.
Pada sidang media selepas itu pula, Nga berkata pasaran industri peralatan tandas secara global bernilai RM80 bilion dan ia dijangka meningkat sebanyak 7.6 peratus setiap tahun.
"Sebenarnya wawasan saya bukan sahaja kita mahu pastikan tandas awam negara bertaraf dunia tetapi inisiatif ini juga untuk bangunkan industri peralatan tandas... seperti di Korea ada COWAY, Jepun ada Toto...
"Industri ini berkembang dengan sangat pesat susulan urbanisasi dunia dalam memperkenal kediaman pintar yang turut dilengkapi tandas pintar serta kesedaran dalam penjagaan tandas," katanya.
Beliau berkata bagi menggalakkan penyertaan pada 2024, anugerah itu akan diperluas kepada tujuh kategori berbanding lima ketika ini manakala hadiah wang tunai dinaikkan kepada RM20,000 berbanding RM10,000 tahun ini.
Nga berkata pada tahun ini, sebanyak 345 penyertaan diterima bagi kategori industri hotel, pusat beli-belah, konsesi lebuh raya (hentian Rehat dan Rawat), stesen minyak serta restoran manakala bagi 2024, kategori sekolah dan pihak berkuasa tempatan akan dimasukkan.
"Pemilihan pemenang dibuat oleh juri bebas iaitu daripada Persatuan Bilik Air Berkualiti Malaysia dan wakil Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya manakala KPKT hanya bertindak sebagai penganjur dan tidak terlibat dengan proses pemilihan pemenang," katanya.
Pemenang edisi kali ini ialah The George Group Penang (kategori hotel), Toppen Shopping Mall Johor Bahru (pusat beli-belah), Elmina Arah Selatan (hentian Rehat dan Rawat), Petron Senai Johor (stesen minyak) dan Cawan Mu Ipoh Perak (restoran).
-- BERNAMA
#Anugerah Toilet Of The Year 2023 #tandas awam #bertaraf BMW #Bersih Menawan dan Wangi #Nga Kor Ming
;