Anugerah Perhubungan Awam Malaysia kembali dengan lebih gemilang

Kenyataan Media
Oktober 22, 2022 18:43 MYT
Presiden PRCA Malaysia Prof. Haji Mohd Said Bani C.M. Din berkata, MPRA tahun ini bakal dianjurkan dengan lebih gemilang berikutan pemulihan sektor perniagaan mahupun komuniti. - Foto ihsan PRCA
Persatuan Perhubungan Awam dan Komunikasi (PRCA) Malaysia hari ini mengumumkan penganjuran semula anugerah perhubungan awam negara yang paling dinanti-nantikan, iaitu Anugerah Perhubungan Awam Malaysia (MPRA) 2022 secara lebih meriah. Sebanyak 28 anugerah bakal dimenangi termasuk Anugerah Kempen Tahunan yang menjadi rebutan. Pengumuman pemenang bagi MPRA 2022 akan diadakan pada majlis makan malam gilang gemilang pada 9 Disember 2022 nanti.
Anugerah yang masuk edisi ke-14 tahun ini bakal mengiktiraf hasil kerja perhubungan awam yang paling cemerlang dan memberi inspirasi dalam kalangan pengamal dan perunding profesion ini daripada kedua-dua sektor swasta dan awam, serta institusi pengajian tinggi.
Majlis Makan Malam MPRA tahun lalu telah dianjurkan secara “hybrid” yang unik selepas penangguhan majlis tahunan ini sebelumnya berikutan pandemik. Seramai 26 pemenang pelbagai kategori menerima anugerah di majlis tersebut di mana Ketua Pengarah Kesihatan YBhg Tan Sri Dato’ Seri Dr Noor Hisham Abdullah juga turut hadir bagi menerima penghormatan Anugerah Kepimpinan PRCA Malaysia 2021.
Presiden PRCA Malaysia Prof. Haji Mohd Said Bani C.M. Din berkata, “MPRA tahun ini bakal dianjurkan dengan lebih gemilang berikutan pemulihan sektor perniagaan mahupun komuniti. MPRA 2022 merupakan salah satu acara penting industri selain menjadi sebahagian usaha PRCA untuk mempromosi kecemerlangan industri dan pengiktirafan lebih tinggi. Kami akan terus berusaha ke arah meningkatkan taraf profesionalisme dalam kalangan pengamal industri melalui usaha kolaboratif dengan agensi Kerajaan yang berkaitan, sektor swasta dan ahli akademik.”
Said Bani menambah, “Memandangkan fasa endemik menandakan permulaan pemulihan ekonomi, sebahagian besar masyarakat terus mengalih tumpuan ke media sosial dan platform digital berbandiing saluran media tradisional sebelum ini. Teknologi kini telah menjadi alat komunikasi yang paling asas untuk organisasi. Penggunaan meluas teknologi baharu telah mengubah cara perniagaan menggunakan perhubungan awam dan pemasaran — termasuk cara mereka berinteraksi dengan media dan pihak berkepentingan.”
Sementara itu, Setiausaha Kehormat PRCA Malaysia dan Ketua Hakim MPRA 2022 Stefanie Braukmann berkata, “Untuk memastikan MPRA sentiasa relevan, kami selalu mengemas kini kategori anugerah selaras dengan trend industri semasa. MPRA 2022 memperkenalkan beberapa kategori baharu yang mencerminkan kuasa dan pengaruh media digital dan sosial yang semakin meningkat dalam perhubungan awam.
“Pada masa yang sama, terdapat pendorong yang kuat bagi pengamal perhubungan awam untuk menekankan kemampanan kerana teknologi dan media sosial telah membawa kepada peningkatan kesedaran orang ramai tentang isu berkaitan kemampanan. Pengguna hari ini lebih peka mengenai alam sekitar dan kesedaran sosial, dan menggunakan kuasa mereka dengan memilih perniagaan yang mereka sokong berdasarkan amalan dan prestasi berkaitan alam sekitar, sosial dan governans (ESG)."
“Dalam era semasa, sebagai sebuah syarikat yang mampan, mewujudkan imej hijau bukan lagi sekadar kelebihan – ia adalah satu keperluan untuk bersaing dalam pasaran baharu ini. Perhubungan awam boleh membantu perniagaan menonjolkan organisasi mereka dalam pasaran mampan yang sentiasa berkembang maju dengan menggambarkan komitmen mereka secara berkesan untuk mencipta perubahan positif melalui operasi mereka.”
Peralihan ini mentakrifkan semula industri perhubungan awam dan komunikasi dengan pantas dan telah menghasilkan asas baharu yang nampaknya bakal membentuk asas masa hadapan bidang ini. PRCA Malaysia akan terus berusaha ke arah memastikan tahap ketersediaan pengamal industri adalah baik untuk memanfaatkan perkembangan ini sambil memperolehi pengiktirafan yang sewajarnya.
MPRA tahun ini telah mendapat sambutan yang memberangsangkan dengan jumlah rekod penyertaan paling tinggi pada tarikh tutup 15 Oktober dan penyertaan paling banyak daripada “in-house practitioners” sepanjang sejarah penganjuran acara ini. Peningkatan penyertaan dalam kategori Komunikasi Kelestarian mencerminkan kepentingan ESG yang semakin meningkat untuk perniagaan selain menjadi bidang tumpuan untuk komunikasi strategik dan peluang pertumbuhan untuk Perhubungan Awam.
MPRA 2022 adalah platform yang mengiktiraf agensi perhubungan awam, agensi kerajaan dan Sektor Swasta yang telah menunjukkan pemahaman dan pelaksanaan teladan trend 2022.
#Anugerah Perhubungan Awam Malaysia #MPRA #PRCA Malaysia #Anugerah Kempen Tahunan
;