Anugerah pembakar semangat teruskan bakti, dakwah - Tokoh Maal Hijrah Johor

Bernama
Julai 7, 2024 13:30 MYT
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor, Mohd Fared Mohd Khalid (dua, kiri) menyampaikan Anugerah Tokoh Maal Hijrah 1446H kepada Jainuddin Mt Sum @ Munajat (dua, kanan). - Foto Bernama
JOHOR BAHRU: Tokoh Maal Hijrah 1446H peringkat negeri Johor, Jainudin Mt Sum @ Munajat menganggap pengiktirafan yang diterimanya sebagai pembakar semangat untuk meneruskan dakwah dan berbakti kepada masyarakat.
Bekas Hakim Syarie Mahkamah Tinggi Syariah Johor itu berkata beliau berharap ia juga dapat menyuntik semangat keluarga, kenalan dan masyarakat untuk berusaha melakukan yang terbaik dalam diri, agama dan masyarakat.
"Setiap daripada kita bertanggungjawab untuk menyumbangkan keringat dan khidmat selagi kita hidup. Harapan saya agar usaha untuk memantapkan lagi institusi dan kedudukan Mahkamah Syariah di Johor khasnya dan di peringkat Persekutuan diteruskan.
"Dengan pengukuhan dan pemerkasakan institusi kehakiman Mahkamah Syariah inimudah-mudahan dapat memartabatkan masyarakat Islam di seluruh negara dan di negeri ini," katanya kepada pemberita selepas Majlis Sambutan Maal Hijrah 1446H Peringkat Negeri Johor di Dewan Jubli Intan, di sini hari ini.
Pada majlis tersebut, bapa kepada lima anak itu menerima wang tunai RM12,000, sijil penghargaan daripada kerajaan negeri Johor yang disampaikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor Mohd Fared Mohd Khalid.
Turut mendapat pengiktirafan Datuk Marsan Kasim bagi Kategori Kemasyarakatan yang menerima wang tunai RM10,000 berserta sijil penghargaan manakala Mohd Faiz Mohamad (Kategori Belia); Nor Hayati Josie Abdullah (Kategori Saudara Kita) dan Abd Samad Hamid (Kategori Orang Asli) masing-masing menerima wang tunai RM5,000 berserta sijil penghargaan setiap seorang.
Jainudin yang mempunyai 10 cucu itu merupakan pemegang Ijazah Sarjana Muda Usuluddin dan Teologi Universiti Al-Azhar Mesir, selain Diploma Pentadbiran Kehakiman daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).
Beliau yang mendirikan rumah tangga dengan Norjinah Abdullah, 63, memulakan kerjaya sebagai kadi daerah Kluang pada 1981 sehingga 1992 sebelum menjadi Hakim Syarie Mahkamah Tinggi Syariah Johor pada 1992 hingga 2005.
Beliau kini merupakan panel Mahkamah Rayuan Johor dari 2014 sehingga kini.
-- BERNAMA
#Tokoh Maal Hijrah Johor #Jainudin Mt Sum #pembakar semangat #meneruskan dakwah dan berbakti
;