Anugerah MyPesara iktiraf, dorong pesara terus berbakti selepas tamat perkhidmatan
Israr Khalid
Oktober 27, 2023 12:17 MYT
Oktober 27, 2023 12:17 MYT
PERNAHKAH anda bertemu dengan seseorang yang hebat semangatnya, terus menabur bakti memberi inspirasi tak kenal erti lelah dan terus berjasa walaupun sudah bersara?
Anugerah MyPesara adalah satu pengiktirafan dan penghargaan untuk pesara perkhidmatan awam yang memberi sumbangan dan membawa impak positif dalam bidang keusahawanan, pendidikan, sosial, dan khidmat masyarakat.
Ia merupakan satu program kerjasama antara Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) [KWAP] dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) yang bermatlamat mendorong para pesara untuk terus kekal aktif dan membawa manfaat kepada komuniti selepas tamat tempoh perkhidmatan.
“Anugerah MyPesara ini adalah unik, rasanya belum ada lagi anugerah seumpamanya.
“Harapan kami dengan adanya penganugerahan ini, ia bukan sahaja mengiktiraf pencapaian pesara-pesara cemerlang malah dapat memberi inspirasi kepada pesara-pesara lain untuk menggunakan masa mereka sebaiknya untuk terus berkhidmat dan memberi impak positif kepada masyarakat,” kata Ketua Jabatan Komunikasi Strategik KWAP, Nor Faridah Amin.
Menurut beliau, beberapa aspek diambil kira untuk memilih pemenang bagi Anugerah MyPesara: Pertama, tahap pencapaian pesara; kedua, kecemerlangan aktiviti yang dilaksanakan pesara; dan ketiga, impak positif yang diberikan dalam bidang yang disertai pesara.
Syarat-syarat penyertaan adalah seperti berikut:
- Warganegara Malaysia.
- Menerima pencen daripada kerajaan Malaysia.
- Berusia 55 tahun dan ke atas.
- Bersara daripada perkhidmatan awam persekutuan, negeri, badan berkanun, dan pihak berkuasa tempatan - kecuali veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
- Aktiviti yang dijalankan perlu sekurang-kurangnya lima (5) tahun.
- Belum pernah menerima sebarang bentuk anugerah peringkat kebangsaan atau antarabangsa.
“Sekiranya penyertaan tersebut adalah untuk kategori keusahawanan, pesara perlu menyertakan sijil pendaftaran dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), sementara penyertaan untuk kategori sosial dan khidmat masyarakat perlulah disertakan sijil pendaftaran dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM).
“Selepas jawatankuasa khas yang ditubuhkan untuk anugerah ini selesai menjalankan proses saringan pertama, borang-borang akan dinilai oleh panel juri yang berpengalaman,” kata Nor Faridah.
Borang penyertaan mestilah diserahkan selewat-lewatnya 10 November 2023, dan serahan boleh dibuat secara dalam talian melalui emel, pos, atau serahan tangan di mana-mana pejabat KWAP, juga kepada pegawai KWAP di lokasi program Jelajah MyPesara.
“Jelajah MyPesara merupakan satu program libat urus kami dengan para pesara dan bakal pesara, di mana kami akan mengetengahkan matlamat kami untuk memperkasa pesara dan juga mempromosi perkhidmatan yang kami sediakan.
“Dari awal tahun hingga kini kami sudah adakan lebih kurang 15 program Jelajah MyPesara di seluruh negara, yang membawa kepada acara kemuncak iaitu Karnival MyPesara yang akan diadakan pada 25 dan 26 November 2023 di Dataran Karnival Shah Alam.”
Maklum Nor Faridah, ia akan disusuli Majlis Penyampaian Anugerah MyPesara pada 14 Disember 2023, di mana pemenang utama akan menerima hadiah wang tunai RM50,000 beserta trofi dan sijil penghargaan, sementara pemenang bagi setiap kategori akan membawa pulang RM10,000, trofi dan sijil penghargaan.
Jika anda menepati ciri-ciri yang dinyatakan atau ada ahli keluarga mahupun sahabat handai juga kenalan yang layak menerima pengiktirafan atas kerja-kerja yang dilakukan, layari kwap.gov.my/anugerahmypesara dan hantar penyertaan anda segera.