Anugerah Merdeka 2022: Sultan Nazrin seru rakyat terus berjuang untuk masa depan negara lebih cerah

Ehsan A Marisah
Ogos 19, 2022 15:53 MYT
Baginda menyatakan situasi global kini memberikan cabaran baharu dan lebih sukar.- Foto Merdeka Award Trust
KUALA LUMPUR: Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah menyeru rakyat untuk terus berusaha, berjuang dan bekerjasama ke arah masa depan negara yang lebih cerah.
Baginda yang juga Penaung Diraja Dan Pengerusi Merdeka Award Trust bertitah, sejak 65 tahun kemerdekaan yang telah dikecapi, negara telah mengalami pelbagai transformasi merangkumi pelaburan besar dalam pembangunan infrastruktur dan modal insan dalam memacu pertumbuhan ekonomi negara.
Usaha yang dilakukan itu telah membantu negara dalam meningkatkan taraf hidup penduduk luar bandar dan bandar, mengurangkan kemiskinan, meningkatkan tahap pendidikan, dan memastikan semua rakyat mencapai kemakmuran.
“Kejayaan usaha ini dapat dilihat dalam perindustrian Malaysia, pemodenan ekonomi kita, dan peningkatan kesejahteraan keseluruhan masyarakat.
“Kemajuan ini telah menyediakan asas yang kukuh untuk kualiti hidup yang kita nikmati hari ini. Pencapaian ini dijayakan oleh kebijaksanaan dan dedikasi pemimpin, dan oleh penyertaan aktif rakyat yang teguh dalam mengejar kecemerlangan serta dalam tugas mereka untuk membina negara,” titah baginda ketika berucap pada Majlis Pengumuman dan Penyampaian Anugerah Merdeka 2022 di sini, pada Jumaat.
Turut berangkat ke majlis itu Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim diiringi Ahli Lembaga Pemegang Amanah Anugerah Merdeka, Ivan Tan dan Datuk Tengku Muhanmad Taufik.
Bertitah lagi, baginda menyatakan situasi global kini memberikan cabaran baharu dan lebih sukar, bagaimanapun, Sultan Nazrin menzahirkan keyakinan bahawa rakyat mempunyai bakat dan ketabahan serta kecekalan untuk menjadikan masa depan mampan dan saksama.
Dalam pada itu, baginda menyifatkan Anugerah Merdeka 2022 ini sebagai penghormatan kepada indvidu cemerlang serta mempunyai sumbangan impak tinggi kepada negara.
Ia juga sebagai meraikan usaha gigih individu atau organisasi untuk mencapai kecemerlangan dalam bidang masing-masing serta memberi inspirasi kepada orang ramai.
“Kami berbesar hati kerana mempunyai ramai pemenang di sini bersama-sama hari ini, yang juga telah memberikan impak besar kepada negara.
“Merdeka Trust turut berbesar hati kerana dapat memberi penghormatan kepada beberapa insan dengan minda terbaik, hati yang cekal serta berkebolehan, melalui penghormatan tersohor ini," titah baginda.
Di samping itu, baginda turut berkenan mengumumkan enam penerima pada Anugerah Merdeka 2022 kali ini.
Penerima anugerah itu dianugerahkan atas pencapaian mereka mengikut kategori, iaitu Pendidikan dan Komuniti; Alam Sekitar; Pencapaian Ilmiah Cemerlang; Kesihatan, Sains dan Teknologi; Sumbangan Cemerlang Buat Rakyat Malaysia.
Manakala, satu kategori baharu turut diperkenalkan tahun ini, iaitu Anugerah Harapan Merdeka untuk mengiktiraf generasi muda pelopor yang terdiri daripada individu di bawah umur 40 tahun, atau organisasi berusia kurang daripada 10 tahun.
#Anugerah Merdeka 2022 #Sultan Nazrin Shah #Sultan Perak #Hari Kebangsaan
;