Anugerah Merdeka: 15 tahun meraikan sumbangan cemerlang buat Malaysia

Ehsan A Marisah
Ogos 22, 2022 17:55 MYT
Anugerah Merdeka ditubuhkan oleh Petronas dan Shell bertujuan mengangkat rakyat Malaysia ke tahap lebih tinggi. - Foto Petronas
KUALA LUMPUR: Sempena ulang tahun ke-15 Merdeka Award Trust, enam penerima terdiri daripada individu dan organisasi menerima anugerah berprestij, Anugerah Merdeka 2022 atas sumbangan besar mereka kepada rakyat dan negara.
Anugerah Merdeka yang ditubuhkan pada 2007 oleh Petronas dan Shell bertujuan mengangkat rakyat Malaysia ke tahap lebih tinggi selain mengiktiraf dan memberi penghormatan kepada individu serta organisasi cemerlang menerusi hasil kerja dan pencapaian mereka yang menyumbang kepada pertumbuhan negara, malah memberi inspirasi kepada ramai orang.
Tahun ini, sebanyak enam kategori disenaraikan, iaitu Pendidikan dan Komuniti; Alam Sekitar; Pencapaian Ilmiah Cemerlang; Kesihatan, Sains dan Teknologi; Sumbangan Cemerlang Buat Rakyat Malaysia dan kategori baharu diperkenalkan, iaitu Anugerah Harapan Merdeka yang mengiktiraf usaha rakyat Malaysia berusia 40 tahun dan ke bawah atau organisasi yang ditubuhkan kurang daripada 10 tahun.
Penerima Anugerah Merdeka 2022 adalah seperti berikut:
1. Kategori Pendidikan dan Komuniti: Teach For Malaysia
Penerima anugerah kategori ini diberikan atas sumbangan cemerlang dalam memastikan pendidikan berkualiti tinggi di sekolah-sekolah kerajaan, terutama yang terletak di kawasan luar bandar dan masyarakat kurang bernasib baik, berlandaskan prinsip bahawa pendidikan dan masa depan anak-anak tidak seharusnya ditentukan oleh latar belakang kehidupan.
“Teach For Malaysia amat berbangga menerima Anugerah Merdeka ini.
“Anugerah ini mendorong kami untuk memperkasakan pelajar di seluruh negara untuk membentuk masa depan diinginkan diri sendiri dan Malaysia. Penganugerahan ini membolehkan kami meneruskan misi untuk memberi impak kepada ribuan pelajar di negara ini,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Teach For Malaysia, Chan Soon Seng.
2. Kategori Alam Sekitar: Global Environment Centre (GEC)
Penerima anugerah kategori ini diberikan atas sumbangan cemerlang dalam pengurusan hutan bakau, hutan paya gambut, sungai dan pantai, program perubahan iklim serta menjalin kerjasama dengan pelbagai pihak yang membantu memulihara dan melindungi alam sekitar dan sumber asli di Malaysia.
Pengasas dan Pengarah GEC, Faizal Parish berkata, anugerah diterima itu bukti hasil kerja mereka diiktiraf, meningkatkan profil dan peluang menjayakan lebih banyak projek di samping memperkasakan ilmu kepada Orang Asli dan tempatan untuk melindungi alam sekitar.
“Semua orang boleh bercakap tentang perubahan iklim, tetapi tidak semua orang menyedari bagaimana ia mampu memberi kesan negatif kepada kita semua di Malaysia.
“Bukan sahaja kesihatan, persekitaran, tetapi juga ekonomi kita. Oleh itu, kami ingin menyokong lebih banyak kempen dan maklumat, penyebaran tentang kepentingan mengurangkan pelepasan gas rumah hijau dan bersiap sedia untuk sebarang perubahan iklim, yang sudah sedia ada kini,” katanya.
3. Kategori Pencapaian Ilmiah Cemerlang: Prof Emeritus Datuk Dr Siti Zuraina Abdul Majid, FASc
Penerima anugerah kategori ini diberikan atas sumbangan sebagai pakar sejarah dan pencapaian cemerlang menjadi ahli arkeologi Malaysia yang pertama, serta memacu usaha ke arah pengiktirafan Lembah Lenggong sebagai tapak Warisan Dunia UNESCO.
Jelas penerima Pencapaian Ilmiah Cemerlang, Prof Emeritus Datuk Dr Siti Zuraina Abdul Majid, kerja-kerja arkeologi memerlukan perincian dan etika yang baik sama seperti penulisan sejarah.
“Jika anda tidak melakukannya (kerja-kerja arkeologi) dengan betul, anda kebarangkalian besar memusnahkan data sejarah. Arkeologi juga merupakan satu bidang, yang juga perlu diberikan perhatian khusus tentang etika.
“Etika sangat penting kerana anda bersendirian di lapangan, anda boleh melakukan banyak perkara. Anda dikelilingi oleh juruteknik, setiap tafsiran perlu dibuat secara jujur,” katanya.
4. Kategori Kesihatan, Sains dan Teknologi: Prof Datuk Dr Adeeba Kamarulzaman
Penerima anugerah kategori ini diberikan atas pencapaian dalam menjadi penggerak utama mengurangkan penyebaran penyakit berjangkit seperti HIV/AIDS dan menggubal dasar serta menstruktur tindak balas yang membawa kepada pencegahan, rawatan dan pengurangan kes HIV/AIDS.
Jelas penerimanya, beliau berjaya menyakinkan kerajaan untuk melaksanakan pengurangan kemudaratan melalui program picagari jarum dan memulakan pemberian preskripsi serta merawat orang yang menggunakan dadah dengan metadon melalui Kementerian Kesihatan (KKM).
“Saya fikir hanya dalam masa tujuh tahun, kami dapat mencegah kira-kira 14,000 jangkitan baharu dan jika kami mengunjurkan ini hingga 2050, kami mungkin akan menghalang ratusan ribu jangkitan HIV baharu yang secara semula jadi diterjemahkan kepada penjimatan berjuta-juta ringgit,” jelasnya.
5. Kategori Sumbangan Cemerlang Buat Rakyat Malaysia: Datuk Dr Annabel Teh Gallop
Penerima anugerah kategori ini diberikan atas sumbangan cemerlang dalam penyelidikan ilmiah, kurasi, pengarkiban dan pemuliharaan surat dan manuskrip Melayu serta mohor dan dokumen Melayu purba yang membawa kepada pemahaman lebih mendalam terhadap bahasa Melayu sebagai bahasa perdagangan dan diplomasi di seluruh Kepulauan Melayu, di samping memberi pencerahan tentang warisan alam Melayu yang serba kaya.
“Jadi saya hanya berharap bahawa dengan anugerah yang luar biasa berprestij ini, mungkin ini juga akan meningkatkan pengiktirafan tentang kepentingan sejarah dan kesedaran sejarah tentang warisan serta sumber sejarah serta tulisan termasuk manuskrip dalam domain yang lebih luas,” katanya.
6. Kategori Anugerah Harapan Merdeka: Samuel Isaiah
Penerima anugerah kategori ini diberikan atas sumbangan cemerlang serta komitmen dalam meningkatkan dan memartabatkan taraf pendidikan dalam kalangan anak-anak Orang Asli dan melatih para guru untuk meningkatkan kualiti pendidikan secara keseluruhannya.
Penerima Anugerah Harapan Merdeka, Samuel Isaiah berharap melalui kepimpinan guru akan dapat melahirkan lebih ramai guru berkualiti di setiap peringkat persekolahan.
”Sama ada subjek sains dan teknologi atau isu perpaduan kaum, segala-galanya bermula di sekolah dan ini adalah sesuatu yang akan saya perjuangkan secara berterusan dalam pelbagai kapasiti.
“Saya sedang berusaha ke arah melengkapkan guru, dan semoga dalam masa terdekat; mengubah dasar pendidikan juga,” ujarnya dengan penuh harapan.
Untuk rekod, jumlah keseluruhan penerima Anugerah Merdeka sejak 2008 telah mencapai 57 individu dan enam organisasi.
Pada tahun ini, pencarian para penerima anugerah telah dianjurkan secara meluas, di peringkat negara dan antarabangsa, yang mana lebih 300 individu dan organisasi berkaliber tinggi telah dipertimbangkan berdasarkan kecemerlangan dan impak mampan dalam bidang kerja mereka.
Setiap penerima kategori Anugerah Merdeka akan dianugerahkan dengan Piala Anugerah Merdeka, Sijil Pengiktirafan dan hadiah wang tunai, manakala penerima Anugerah Harapan Merdeka akan dianugerahkan dengan Sijil Pengkitirafan dan hadiah wang tunai.
*Artikel ini adalah kandungan berbayar.
#Anugerah Merdeka 2022 #penerima Anugerah Merdeka #Merdeka Award Trust #NGO #pakar
;