Anugerah jadi pembakar semangat untuk terus berjuang buat golongan OKU - Ras Adiba
Bernama
Mac 7, 2023 20:59 MYT
Mac 7, 2023 20:59 MYT
KUALA LUMPUR: "Anugerah ini bukan hanya untuk saya sahaja, tetapi juga bagi komuniti Orang Kurang Upaya (OKU) dan Malaysia!" kata Senator Datuk Ras Adiba Radzi.
Ketika diumumkan sebagai antara 11 penerima Anugerah Wanita Berani Antarabangsa (IWOC) bagi 2023 oleh Kedutaan Amerika Syarikat di Malaysia, Ras Adiba mengakui beliau menganggap ia pada mulanya hanya gurauan.
"Saya ingat mula-mula itu, mereka (Kedutaan) ini saja melawak dengan saya, sebab kita sering bekerjasama, jadi apabila saya betul-betul diberitahu melalui emel...apabila membaca setiap bait isi surat yang mereka emel, barulah saya terima, ini realiti dan bukan main-main.
Anugerah ini terus terang saya katakan saya tak pernah terfikir akan dapat pencalonan sebab saya merasakan diri saya banyak lagi yang saya perlu lakukan dan banyak lagi perlu belajar untuk menjadi antara wanita-wanita disegani di Malaysia apatah lagi di dunia," katanya kepada Bernama.
Majlis anugerah berkenaan dijadual berlangsung di Rumah Putih, Washington DC, Amerika Syarikat esok.
Ras Adiba yang juga bekas Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), adalah seorang aktivis OKU dan mengetuai OKU Sentral, sebuah badan bukan kerajaan yang aktif memperjuangkan hak komuniti berkenaan dalam negara.
Mahu anugerah berkenaan dirai bersama, Ras Adiba berkata beliau tidak mungkin dapat diiktiraf untuk menerima anugerah sedemikian tanpa kerjasama ramai pihak terutama, pasukannya yang sekian lama bersamanya memperjuangkan hak-hak OKU.
"Anugerah ini adalah sebagai satu pemberi semangat kepada saya secara peribadi, untuk terus berjuang bemati-matian untuk komuniti OKU, terutama untuk wanita dan gadis dan anak-anak OKU supaya hak kami akan terus didengar dan dipertegak.
Ia juga satu anugerah yang besar untuk ibu-bapa dan adik beradik saya, ia sebenarnya untuk komuniti OKU, saya meminjam semangat mereka untuk berada di sini, saya bersyukur kepada Illahi, anugerah ini adalah untuk semua rakyat Malaysia, ini untuk anda," katanya
Beliau juga berharap anugerah yang akan diterimanya ini akan menjadi pencetus semangat kepada semua gadis dan wanita bahawa tidak ada yang impian yang mustahil, sekiranya disertakan dengan fokus dan kerja keras.
Selain Ras Adiba, penerima lain anugerah berprestij itu termasuk Dr Zakira Hekmat dari Afghanistan, Alba Rueda dari Argentina dan Donis Rios dari Costa Rica.
-- BERNAMA