Anugerah ikon untuk YouTuber adalah kerana dia anak kelahiran Ipoh - MBI
Abd Razak Mohd Ali
Julai 23, 2020 13:48 MYT
Julai 23, 2020 13:48 MYT
Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) menjelaskan pengiktirafan Ikon Bandaraya Ipoh yang diberikan kepada seorang YouTuber masakan terkenal adalah atas kapasitinya sebagai anak kelahiran Ipoh.
Pegawai Perhubungan Awamnya, Mohd Syahrizal Azmi berkata, anugerah itu tidak boleh diberikan kepada suami wanita berkenaan yang merupakan anak jati Sungai Siput.
Menurutnya, pengiktirafan status ikon itu juga hanya melibatkan penerima individu dan bukan atas jenama saluran YouTube kendalian pasangan berkenaan.
“MBI memberi pengiktirafan ini hanya kepadanya (YouTuber) kerana dia berasal dari Buntong, Ipoh manakala suaminya dari Sungai Siput.
“Ia sebagai satu bentuk penghargaan atas usaha dan pencapaiannya sebagai anak kelahiran Ipoh membina kerjaya menerusi bakat dimiliki,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Sebelum ini lelaki yang juga suami YouTuber itu ditahan reman tiga hari kerana disyaki memiliki senjata berbahaya dalam kejadian di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh, pada Isnin.
Suspek yang dikatakan dalam keadaan mabuk telah membawa senjata sabit ke hospital mencari adik iparnya berkaitan satu masalah keluarga.
Kejadian itu dipercayai berpunca daripada perselisihan faham antara pasangan berkenaan berkaitan satu majlis di Ipoh, Isnin lalu.
#anak
#Hospital
#Ipoh
#kelahiran Ipoh
#keluarga
#lelaki
#Majlis Bandaraya Ipoh
#suspek
#wanita
#YouTube
#YouTuber masakan