Anugerah Guru Inspirasi McDonald's mampu cungkil bakat guru
Vivi Sumanti
Mei 27, 2022 12:12 MYT
Mei 27, 2022 12:12 MYT
BACHOK: Anugerah Guru Inspirasi McDonald's 2022 yang dilaksanakan oleh McDonald's Malaysia merupakan satu bentuk pengiktirafan kepada warga pendidik selain menjadi medium bagi mengetengahkan pendidik yang berfikiran luar kotak.
Perkara itu diakui Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Radzi Jidin yang memaklumkan pemilihan dibuat berdasarkan beberapa kriteria yang dibuat berdasarkan penilaian profesional.
Bahkan, jelasnya lagi, penganjuran Anugerah Guru Inspirasi McDonald's Malaysia datangnya dari hati yang ikhlas ingin melihat murid mendapat pendidikan yang baik di sekolah.
"Apabila saya membaca kertas konsep majlis pada hari Anugerah Guru Inspirasi McDonald's ceritanya adalah bagaimana McDonald's memilih dalam kalangan pencalonan. Tahun ini seramai 5,689 pencalonan yang diterima oleh McDonald's.
"Pencalonan tertinggi yang diterima McDonald's Malaysia dari pihak sekolah daripada murid-murid sebagai menghargai jasa guru-guru mereka.
“Tentunya guru-guru ini tak pernah mengharapkan bahawa setiap kebaikan yang mereka laksanakan, perkara yang mereka usahakan itu akan diberi anugerah, akan diiktiraf.
“Tentunya sebarang perkara yang dilaksanakan datangnya dari hati yang ikhlas ingin melihat anak didik mendapat yang terbaik dalam tempoh pendidikan mereka di sekolah," kata Radzi semasa berucap pada majlis penyampaian Anugerah Guru Inspirasi McDonald's di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) di sini, pada Sabtu lepas.
Langkah yang dilakukan oleh McDonald's itu, kata beliau, merupakan usaha murni yang boleh dicontohi pihak lain serta boleh membina satu sistem yang boleh memberi penekanan yang lebih cemerlang kepada anak didik.
Menurut Radzi, daripada 25 penerima anugerah itu, mereka berkongsi usaha guru-guru dari Perlis hingga ke Sabah, dengan menceritakan tentang pendekatan, inisiatif dan inovasi yang dilakukan.
Anugerah Guru Inspirasi McDonald's 2022 merupakan tahun keenam penganjurannya dengan penyertaaan yang paling tinggi direkodkan.
Sementara itu, Naib Presiden dan Ketua Pegawai Pemasaran McDonald's Malaysia, Melati Abdul Hai berkata, 25 guru dipilih untuk menerima Anugerah Guru Inspirasi McDonald’s 2022 daripada bilangan pencalonan yang amat menggalakkan tahun ini.
Beliau menjelaskan, 25 orang guru berkenaan merupakan antara guru yang mempunyai idea luar kotak dalam pengajaran serta berjaya mewujudkan persekitaran sekolah yang seronok untuk pembelajaran murid-murid.
Empat kriteria utama dalam menentukan pemilihan adalah: Kemampuan meningkatkan prestasi akademik pelajar; menggunakan kaedah pengajaran berinovasi dan di luar kotak; kemampuan melaksanakan tanggungjawab melebihi tugas hakiki untuk membantu pelajar; dan memberi impak positif kepada diri pelajar.
"Anugerah ini adalah inisiatif dari syarikat McDonald's. Kami amat menghargai jasa dan titik peluh cikgu… kami memandang komuniti guru sebagai komuniti amat penting dalam kalangan masyakat kita kerana mereka membimbing anak-anak kita yang bakal menjadi pemimpin pada masa hadapan," kata beliau dalam sidang media selepas penyampaian anugerah.
Beliau berkata, sejak dilancarkan pada 2017, program ini mendapat sambutan pada setiap tahun, sekali gus menunjukkan masyarakat dan ibu bapa prihatin dengan sumbangan guru-guru kepada anak-anak mereka..
Guru yang terpilih menerima anugerah ini dinilai oleh panel juri yang terdiri daripada wakil-wakil McDonald’s, Kementerian Pendidikan dan media.
Anugerah Guru Inspirasi McDonald's 2022 menawarkan hadiah berupa wang tunai RM5,000 serta trofi yang disampaikan oleh Menteri Kanan Pendidikan sempena sambutan Hari Guru peringkat kebangsaan kali ke-51 yang diadakan di Kelantan buat julung kalinya.