Antivaksin: Jangan diikut sangat kebebasan melampau perjuangan hak asasi Barat

Israr Khalid
Oktober 12, 2021 08:00 MYT
Tidak semua perkara dari negara Barat itu elok untuk dicontohi, kata pakar perubatan kesihatan awam Prof Datuk Dr Syed Mohamed Aljunid Syed Junid. (Gambar hiasan)
KUALA LUMPUR: Kerajaan masih bertimbang rasa dengan menghormati hak setiap rakyat Malaysia untuk membuat pilihan, termasuk untuk tidak mendapatkan vaksin.
Namun, pakar perubatan kesihatan awam Prof Datuk Dr Syed Mohamed Aljunid Syed Junid berharap seeloknya pada satu tahap nanti akan diwajibkan untuk semua warganegara divaksinasi, mahu atau tidak.
Seperti vaksinasi cacar atau ‘small pox’ yang diwajibkan satu ketika dahulu, tindakan itu ternyata dan terbukti pada akhirnya dapat membendung penularan penyakit berjangkit itu dengan berkesan.
“Kalau kita masih ingat, ketika itu dicop di belakang surat beranak kita sehinggakan kalau tidak mengambil vaksin cacar tidak boleh mendaftarkan diri masuk ke sekolah.
“Ini merupakan satu langkah ekstrem yang kita boleh lakukan, tapi pada masa sama kita nak memujuk mereka (golongan anti-vaksin) supaya membuka minda untuk menerima vaksin ini sebagai langkah yang lebih baik.”
Katanya, memang setiap individu mempunyai hak masing-masing, namun harus difikirkan kesannya yang lebih besar kepada ahli keluarga, sahabat handai dan masyarakat seluruhnya.
Ketika ini ramai yang terpengaruh dengan perjuangan hak asasi yang diamalkan oleh barat sehingga ia keterlaluan dan tidak masuk akal sehingga menidakkan terus fakta yang dibuktikan secara saintifik.
“Kalau kita lihat negara-negara Eropah dan Amerika, golongan anti-vaksin ini mencanangkan tentang hak asasi mereka, yang ternyata salah apabila kita lihat ada laporan tentang ketua-ketua kelompok ini menghadapi masalah dan ada yang mati disebabkan COVID-19 kerana tidak mahu mengambil vaksin.
“Walaupun kita mengikuti perkembangan mereka dari segi ekonomi dan kemajuan sainsnya, tapi perkembangan hak asasi manusia yang tak terkawal hingga memudaratkan masyarakat majoriti ini tidak harus diikut.”
Syed Mohamed Aljunid berkata demikian dalam Agenda AWANI yang dihoskan oleh Nazri Kahar pada Isnin. Tonton di sini:
Antivaksin: Jangan diikut kebebasan hak asasi negara barat - Pakar
Agenda AWANI: Rentas negeri selamat, elak mudarat
#antivaksin #vaksin #Syed Mohamed Aljunid Syed Junid #hak membuat pilihan
;