Anti-vaksin: Khairy gesa laporan dibuat terhadap pengguna Twitter @khalids
Astro Awani
Oktober 8, 2021 18:19 MYT
Oktober 8, 2021 18:19 MYT
KUALA LUMPUR: Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin telah meminta laporan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (MCMC) dibuat terhadap seorang pengguna laman sosial Twitter atas penyebaran berita palsu berhubung vaksin COVID-19.
“Ada masanya untuk mendidik. Namun, ada masanya untuk menguatkuasakan undang-undang,” jelas Ahli Parlimen Rembau itu menerusi Twitter.
“Saya telah minta laporan dibuat terhadap @khalids kepada PDRM dan MCMC atas penyebaran berita palsu berkenaan vaksinasi COVID-19. Enough lies.”
Sebelum ini, beberapa individu sudah dikenakan tindakan undang-undang selepas menyebarkan berita palsu mengenai vaksin COVID-19.
Pada Jun lepas, seorang doktor didenda RM5,000 di Mahkamah Sesyen di Kangar, Perlis selepas mengaku bersalah atas penerbitan yang mengandungi berita tidak benar mengenai vaksin Sinovac pada April lalu.
Pemerhatian Astro AWANI mendapati, pengguna Twitter yang menggunakan nama @khalids telah mengaktifkan semula akaunnya kurang 24 jam selepas menyahaktifkannya pada Jumaat.