Anthony Loke tidak kena serangan jantung - KKM

Abd Razak Mohd Ali
Julai 12, 2024 15:33 MYT
Anthony Loke dilihat mengalami sesak nafas ketika memulakan sesi jawab lisan soalan pertama dikemukakan Wong Chen (PH-Subang) pada Rabu. - Gambar fail
IPOH: Kejadian Menteri Pengangkutan, Anthony Loke mengalami sesak nafas ketika memulakan jawapan lisan soalan pertama di Dewan Rakyat pada Rabu, tiada kaitan dengan serangan jantung.
Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Sauni sebaliknya berkata, ia berkaitan dengan masalah kecergasan yang menyebabkan Ahli Parlimen Seremban itu tercungap-cungap.
"Beliau dalam keadaan tergesa-gesa sebab faktor kesesakan lalu lintas dan juga tempoh masa untuk menjawab itu sudah dekat. Sampai saja lobi Parlimen, beliau bergegas masuk ke dewan dan kebetulan perlu terus menjawab.
"Jadi (sesak nafas) berlaku... nak tarik nafas… kesesakan nafas lah. Tiada berkaitan dengan serangan jantung atau apa-apa yang berkaitan (dengan jantung)," katanya.
Beliau berkata demikian pada dalam sidang media selepas merasmikan Kongres ASEAN ke-13 dan Kongres Kesihatan Perak ke-10 di Ipoh, pada Jumaat.
Menurutnya, kejadian seumpama itu pernah berlaku beberapa kali sebelum ini tetapi tidak serius.
Sehubungan itu, katanya, Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul dan Kementerian Kesihatan sejak tahun lalu sentiasa menggalakkan kesemua 222 menjalani saringan kesihatan.
Pada Rabu, media melaporankan Sidang Dewan Rakyat sedikit terganggu apabila Anthony Loke dilihat mengalami sesak nafas ketika memulakan sesi jawab lisan soalan pertama dikemukakan Wong Chen (PH-Subang).
Dalam sidang dewan pagi ini, beliau dilihat tidak selesa ketika mula bercakap dan tercungap-cungap seterusnya memohon diberikan sedikit masa untuk menenangkan diri.
#Anthony Loke #sesak nafas #serangan jantung #KKM
;