Anthony Loke enggan ulas dakwaan 'yee sang' dimulakan datuknya

Sinar Harian
Januari 21, 2023 20:00 MYT
Anthony Loke pernah berkongsi satu hantaran di Facebook mengenai sebuah portal yang menyiarkan artikel tentang sejarah yee sang lapan tahun lalu. - Sinar Harian
SHAH ALAM: Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook tidak mengetahui kesahihan dakwaan yang menyatakan hidangan tradisi masyarakat Cina, 'yee sang' (salad campuran sayur-sayuran dan ikan) dimulakan oleh datuknya, Loke Ching Kee.
Beliau ketika dihubungi Sinar Harian enggan mengulas lanjut berkenaan dakwaan tersebut.
“Saya tak mahu komen tentang dakwaan itu, lagipun saya tidak berapa tahu sama ada ia betul atau tidak.
“Susah mahu cakap, saya tidak mahu ulaslah,” katanya ringkas pada Sabtu.
Baru-baru ini, tular di media sosial mengaitkan asal-usul sajian utama yang menjadi pelengkap sambutan Tahun Baharu Cina itu dengan keluarga Anthony Loke.
Menurut perkongsian di Twitter, pengguna akaun dengan nama @adrianlimcheeen mendakwa, yee sang ialah makanan yang dicipta oleh Restoran Loke Ching Kee di Seremban sekitar tahun 1940-an.
“Restoran Loke Ching Kee ialah restoran yang diusahakan oleh sosok bernama Loke Ching Kee, iaitu datuk kepada Anthony Loke Siew Fook (menteri pengangkutan sekarang).
"(Masyarakat) Cina di China, Hong Kong, Taiwan dan Indonesia tak buat yee sang masa Tahun Baharu Cina. Hatta apa itu yee sang pun mereka tidak tahu.
"Di Malaysia, Cina, Melayu, India, Kadazan, Iban semua tahu apa itu yee sang. Ia adalah amalan biasa di Malaysia,” ciapnya.
Untuk makluman, Anthony Loke juga pernah berkongsi satu hantaran di Facebook mengenai sebuah portal yang menyiarkan artikel tentang sejarah yee sang lapan tahun lalu. -- Sinar Harian
#Yee Sang #Anthony Loke #Tahun Baharu Cina #masyarakat Cina
;