Anthony Loke dukacita MRT laluan Putrajaya alami gangguan

Sinar Harian
November 15, 2023 15:29 MYT
Anthony Loke berkata, perkara itu tidak sepatutnya berlaku kerana MRT laluan Putrajaya baru sahaja dibuka Mac lalu. - Gambar fail
PUTRAJAYA: Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook menzahirkan perasaan dukacita susulan perkhidmatan Transit Aliran Massa (MRT) laluan Putrajaya mengalami gangguan bekalan kuasa.
Menurutnya, perkara itu tidak sepatutnya berlaku kerana MRT laluan Putrajaya baru sahaja dibuka Mac lalu.
"Saya amat berdukacita kerana laluan ini dibuka tidak sampai setahun pun," katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri majlis perhimpunan bulanan kementerian di sini pada Rabu.
Anthony Loke berkata demikian bagi mengulas mengenai perkhidmatan MRT Laluan Putrajaya yang mengalami kelewatan jadual perjalanan akibat gangguan bekalan kuasa di antara Stesen Conlay dan Stesen Chan Sow Lin.
Gangguan yang dilaporkan berlaku jam 5.49 petang Selasa telah menyebabkan dua buah tren yang berada di kawasan berkenaan tidak dapat bergerak kerana terputus bekalan kuasa di kawasan tersebut.
MRT Laluan Putrajaya dari Kwasa Damansara sehingga Putrajaya Sentral dibuka sepenuhnya pada 16 Mac lalu.
Fasa 1 MRT 2 telah beroperasi pada Jun 2022 dengan perkhidmatan antara stesen Kwasa Damansara dan Kampung Batu.
Keseluruhan Laluan Putrajaya merangkumi 57.7 KM yang terdiri daripada 36 stesen dan membabitkan 49 set kereta api telah menelan belanja RM30.53 bilion.
Tambah beliau, MRT Corporation Sdn Bhd dan Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) perlu memberi perhatian serius bagi menangani masalah teknikal tersebut.
"Mereka juga telah diminta untuk menyediakan laporan penuh kepada kementerian di dalam mesyuarat pasca kabinet kementerian," katanya.
Sementara itu, dalam perkembangan lain, Anthony Loke berkata, kementerian sedia mempertimbangkan untuk menyemak semula hukuman denda bagi kesalahan memandu di bawah umur sebagaimana termaktub Seksyen 26 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Beliau berkata, MOT akan mendapatkan maklum balas awam dan badan bukan kerajaan (NGO) sebelum penambahbaikan akta tersebut dibuat.
"Sudah tentu kami akan melakukan semakan semula dari semasa ke semasa terhadap undang-undang sedia ada," katanya.
Berdasarkan akta tersebut, denda diperuntukkan adalah RM300 sehingga RM2,000 atau penjara sehingga tiga bulan atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Ahad lepas, seorang remaja lelaki berusia 16 tahun dilapor memandu kereta milik ibunya sebelum terbabit kemalangan yang menyebabkan dua kematian di Kilometer 1.9 Jambatan Pulau Pinang menuju arah Perai.
Ditanya mengenai apakah bentuk tindakan boleh diambil kepada ibu bapa yang membenarkan pemandu di bawah umur, Anthony berkata:
"Apa sahaja peruntukan yang boleh digunakan di bawah akta tersebut kita akan gunakan," katanya. - Sinar Harian
#Anthony Loke #MRT Putrajaya #gangguan perjalanan #MRT down
;