Antara nilai kemanusiaan dan kewajaran kompaun RM50,000?

Bernama
April 29, 2021 10:55 MYT
NIK AHMAD: Mungkin berlaku salah faham penguat kuasa mendefinisikan kategori pesalah sebagai peniaga atau individu. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Apakah wajar kompaun setinggi RM50,000 dikenakan pada masa ini atas kesalahan melanggar prosedur operasi standard (SOP) ketika masih ramai lagi yang sedang bergelut dengan kesukaran ekonomi untuk bangkit kembali impak daripada pandemik COVID-19?
Itu persoalan warga netizen yang membanjiri pelbagai laman media sosial, tidak kiralah sama ada Facebook mahupun Twitter sehingga tular isu berkenaan apabila kebanyakannya mempertikaikan relevan di sebalik tindakan polis Kelantan mengenakan saman 'semahal' itu kepada beberapa peniaga atas kesalahan beroperasi lebih masa.
Bagi mereka, tindakan itu dianggap sebagai keterlaluan, bertegas tidak bertempat, melampau, tidak ada sifat perikemanusiaan dan tidak masuk akal kerana jumlah kompaun semahal itu dikenakan bukanlah ke atas golongan peniaga berpendapatan tinggi tetapi hanyalah rakyat marhaen yang berniaga kecil-kecilan.
Malah, kemarahan warga netizen ini semakin memuncak pada Selasa lepas, apabila selebriti dan usahawan terkenal Noor Neelofa Mohd Noor atau popular dengan panggilan Neelofa bersama keluarganya hanyalah dikompaun keseluruhan RM60,000 atas dua kesalahan iaitu gagal mematuhi SOP selaku penganjur bagi majlis perkahwinannya serta melanggar kebenaran merentas negeri.
BACA: Ingkar SOP: Neelofa, keluarga dikompaun RM60,000
BACA: Jual burger depan tangga rumah, peniaga kecewa dikompaun RM50,000
Walhal, peniaga yang bukanlah 'sekaya mana' hanya mencari sumber rezeki dengan meniaga burger di depan rumah serta meniaga colek kecil-kecilan di kawasan kampung dikenakan kompaun semahal RM50,000, pastinya satu jumlah yang sukar untuk mereka lunaskan.
LAYANAN DWISTANDARD
Keadaan ini membuatkan ramai pihak mula menularkan persepsi bahawa wujudnya layanan dwistandard dalam tindakan kompaun dikenakan apabila membabitkan artis atau ahli politik berbanding rakyat biasa yang dikatakan akan terus dikenakan tindakan sekiranya didapati bersalah melanggar SOP dengan jumlah yang tidak masuk akal.
Dalam polemik ini, biarpun polis Kelantan dan Kementerian Kesihatan (KKM) telah memberi komitmen jitu akan meneliti semula kompaun RM50,000 yang dikenakan terhadap beberapa peniaga berkenaan sama ada diberi pengurangan atau pengecualian yang sekali gus membuktikan elemen timbang rasa masih lagi ada dalam penguatkuasaan undang-undang tersebut, namun ternyata ia masih lagi belum mampu meredakan kemarahan rakyat.
BACA: KKM kaji pengurangan, pengecualian terhadap kes peniaga burger dikompaun RM50,000
TONTON: Jika ingin mengambil tindakan kompaun, berpada-padalah - PM
Memahami keluhan mahupun denyut nadi rakyat, isu ini akhirnya mendapat perhatian Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menggesa agensi penguat kuasa menggunakan pendekatan yang lebih berhikmah dalam memastikan pematuhan SOP oleh masyarakat ketika pandemik COVID-19.
Beliau dipetik berkata walaupun ketegasan itu penting untuk memastikan peraturan dipatuhi, pada masa sama perlu ada budi bicara dan perikemanusiaan dalam tindakan yang diambil agar usaha mendidik masyarakat itu lebih diterima.
"Mereka ini bukanlah pemilik syarikat atau pertubuhan perniagaan yang besar tetapi hanya pemegang lesen untuk berniaga sendiri secara kecil-kecilan.
"Jadi, kalaupun nak ambil tindakan kerana melanggar SOP dan peraturan, kita bertimbang rasalah. Kenakan kompaun tapi berpada-padalah, pada kadar yang munasabah," katanya dalam satu laporan media semalam.
SALAH FAHAM
Mengulas isu ini, pakar undang-undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Prof Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmod berkata ada kemungkinan kompaun tinggi yang dikenakan kepada beberapa peniaga di Kelantan berlaku disebabkan salah faham anggota penguat kuasa mendefinisikan kategori pesalah sebagai peniaga atau individu ketika menjalankan tugas mereka.
"Merujuk tiga kes peniaga di Kelantan, kalau mereka peniaga, maka mungkin tafsiran badan penguatkuasaan menganggap mereka adalah perbadanan/pertubuhan. Di sini mungkin berlaku salah faham dan kerana itu perlu ada tafsiran lebih logik dalam isu ini.
"Oleh itu, perlu dinyatakan jumlah kompaun yang boleh mereka kenakan untuk pesalah-pesalah yang dikategorikan dengan jelas. Selain itu, perlu juga dinyatakan dengan jelas peniaga-peniaga kecil dikategorikan sebagai individu atau perbadanan dan sebagainya. Kalau isu perincian ini tidak dijelaskan, sudah tentu akan berlaku lagi apa yang kita lihat di Kelantan," katanya kepada Bernama.
Di bawah Ordinan Darurat (Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit) (Pindaan) 2021, orang ramai yang didapati melanggar PKP akan dikompaun sehingga RM10,000 berkuat kuasa 11 Mac. Bagi syarikat yang didapati melakukan kesalahan yang sama pula boleh dikompaun sebanyak RM50,000.
Ini juga sebagai langkah bagi menangani persepsi masyarakat yang menuduh berlakunya layanan dwistandard antara rakyat biasa dengan golongan ahli politik mahupun artis apabila membabitkan penguatkuasaan undang-undang berkaitan dengan pelanggaran SOP COVID-19.
"Isu dwistandard tercetus kerana ramai mempunyai persepsi bahawa pihak berkuasa memilih dalam menguatkuasakan undang-undang. Ketika ramai dikompaun secara 'spontan' di tempat kejadian, ada pula kes pihak berkuasa dilihat lambat mengambil tindakan malah memberi pula ruang untuk pesalah laku tersebut melakukan aktiviti yang dianggap melanggar SOP secara berterusan sebelum sebarang tindakan penguatkuasaan diambil.
"Pada pandangan saya sebagai seorang pengamal undang-undang, setiap kes mempunyai fakta yang berbeza meskipun peruntukan undang-undang yang digunakan tersebut adalah sama antara satu sama lain. Ini kerana, terdapat kes yang memerlukan siasatan yang lebih panjang, dan ada juga yang dapat diputuskan lebih awal.
"Jadi, mungkin tidak adil untuk kita menuduh pihak berkuasa mengamalkan 'double standard' tanpa kita mengetahui latar belakang kes tersebut dengan penuh," katanya.
Mengeruhkan lagi keadaan apabila maklumat yang tidak lengkap mengenai sesuatu isu penguatkuasaan pelanggaran SOP tular di media sosial walhal fakta tersebut mungkin belum sahih lagi kebenarannya.
Justeru, beliau berkata amat penting penjelasan yang munasabah dan terperinci dari segi prosedur penguatkuasaan undang-udang dilakukan oleh agensi penguat kuasa bagi membantu orang ramai untuk lebih memahami keputusan pihak berkuasa dalam menentukan sama ada sesuatu kes itu perlu siasatan lanjut atau tindakan segera.
-- BERNAMA
#COVID-19 #SOP #kompaun #Nik Ahmad Kamal Nik Mahmod #peniaga
;