Antara Muhammad Yunus, noktah kemiskinan dan Malaysia

Harits Asyraf Hasnan
Ogos 14, 2024 13:45 MYT
Model kewangan sosial yang diperkenal Muhammad Yunus untuk menangani krisis kemiskinan di Bangladesh telah diaplikasi di peringkat global. - Foto Reuters
KUALA LUMPUR: Pemenang Hadiah Nobel tunggal Bangladesh Muhammad Yunus telah mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri sementara negara itu pada Khamis lalu.

Ringkasan AI
  • Latar Belakang: Muhammad Yunus, seorang ahli ekonomi yang dikenali sebagai jurubank kepada orang miskin, telah memenangi Hadiah Nobel Keamanan pada tahun 2006. Beliau menggerakkan perusahaan kewangan sosial dan memperkenalkan konsep pinjaman mikro untuk mengurangkan kemiskinan di Bangladesh.
  • Grameen Bank: Pada tahun 1983, Yunus mengasaskan Grameen Bank, yang menjadi peneraju global dalam pinjaman mikro. Bank ini memberikan pinjaman kepada perumahan, pelajar, dan perusahaan mikro, dengan fokus utama pada menyokong wanita Bangladesh.
  • Kritikan dan Kaitan dengan Malaysia: Walaupun mendapat pengiktirafan, Yunus juga menghadapi kritikan. Namun, model kewangan sosial yang diperkenalkannya, seperti yang diaplikasikan oleh Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), membantu golongan miskin dengan memberi suntikan modal pada masa yang tepat untuk perubahan holistik.

Ahli ekonomi yang turut dikenali sebagai 'jurubank kepada orang miskin' itu berhasrat membawa kestabilan kepada Bangladesh selepas negara itu dilanda pergolakan lantaran demonstrasi antikerajaan yang telah meragut ratusan nyawa.
Berusia 84 tahun, Muhammad Yunus telah menggerakkan perusahaan kewangan sosial dan memenangi Hadiah Nobel Keamanan 2006 untuk kerja-kerja kewangan mikro yang dirintis beliau bagi mengurangkan kemiskinan di Bangladesh.
Malah, inisiatif itu telah diterima pakai secara meluas di seluruh dunia.
Siapa Muhammad Yunus?
Menurut profil yang diterbitkan di laman web Hadiah Nobel, Muhammad Yunus dilahirkan pada 1940 di Chittagong, sebuah bandar pelabuhan di tenggara Bangladesh.
Beliau mendapat pendidikan tinggi di Universiti Dhaka, sebelum menerima biasiswa berprestij, Fulbright untuk melanjutkan pendidikan di peringkat doktor falsafah (Ph.D) dalam bidang ekonomi di Universiti Vanderbilt, Amerika Syarikat.
Pada 1972, setahun selepas Bangladesh memperoleh kemerdekaan daripada Pakistan, beliau kembali mengajar di Universiti Chittagong.
Namun, krisis kebuluran yang melanda negara itu pada 1974 dan meragut 1.5 juta nyawa menjadi titik tolak kepada beliau melakukan perubahan, membantu setiap nyawa terutama golongan miskin di negara itu.
Kewangan Sosial Dan Pinjaman Mikro
Beliau mengambil inisiatif dari simpanannya sendiri untuk membantu penduduk termiskin dalam komunitinya sebelum mengasaskan Grameen Bank pada 1983 - yang kini menjadi peneraju dunia dalam mengurangkan kemiskinan melalui pinjaman mikro.
Bank itu berkembang pesat dengan pelbagai khidmat serta cawangan berbeza, namun mempunyai model sama yang kini diaplikasi di pelbagai bank di peringkat global, lapor Reuters.
Muhammad Yunus dan Grameen Bank telah dianugerahkan Hadiah Keamanan Nobel pada tahun 2006, selepas meminjamkan sejumlah kira-kira AS$6 bilion pinjaman perumahan, pelajar dan perusahaan mikro dan lebih utama untuk menyokong wanita Bangladesh.
Beliau juga merupakan pengasas Yunus Centre, sebuah badan pemikir bertapak di Dhaka yang membantu membangunkan keusahawanan sosial baharu.
Namun, Muhammad Yunus tidak terlepas daripada kritikan terhadap dirinya dan Grameen Bank.
Ada yang mendakwa, sesetengah peminjam mikro berdepan kadar faedah yang tinggi sekali gus memiskinkan peminjam, tersasar dari tujuan asal.
CNN melaporkan, Yunus telah menolak dakwaan tersebut dan menegaskan bahawa Grameen Bank tidak bertujuan untuk mendapatkan wang sebaliknya membantu golongan miskin dan memperkasakan perniagaan kecil.
Apa Kaitan Dengan Malaysia?
Tekad yang dipegang Muhammad Yunus ini juga menjadi perjuangan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam menoktahkan kemiskinan di Malaysia.
Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) merupakan model kewangan sosial sama yang diperkenalkan oleh Muhammad Yunus.
Muhammad Yunus melalui kajiannya mengenal pasti bahawa golongan miskin sukar untuk meningkatkan taraf hidup dan keluar dari kelompok kemiskinan disebabkan tidak mempunyai modal yang mencukupi.
Beliau mencadangkan supaya golongan miskin diberi suntikan modal pada masa dan situasi yang tepat supaya mereka dapat melakukan perubahan yang holistik.
Pemangku Pengerusi Lembaga AIM Datuk Seri Dr Syed Hussian Syed Junid berkata, Anwar menjadi antara individu terawal yang banyak membantu AIM ketika ia 'mula-mula bertatih'.
"Ketika tiada mana-mana institusi kewangan pun yang sudi menerima kami. Hatta bank pun tidak sanggup bekerjasama dengan kami, atas alasan mampukah golongan kurang mampu ini membayar balik pembiayaan yang diberi.
"Tetapi tuan-tuan dan sahabat-sahabat sekalian, Datuk Seri Anwar inilah yang sanggup menghulurkan tangan, mengambil inisiatif dalam penubuhan Tabung Ikhtiar bagi memastikan kejayaan penubuhan AIM," katanya berucap pada Karnival Sahabat Usahawan AIM pada Julai lalu.
Memetik laporan Bernama, Syed Hussian berkata, Anwar yang melancarkan Tabung Ikhtiar kemudian menggerakkannya sendiri dengan memohon sumbangan dan dana sama ada daripada orang perseorangan, mahupun syarikat korporat.
Katanya ia dilakukan sendiri Anwar tanpa ada sedikit pun rasa prejudis mengenai kemampuan golongan miskin untuk membayar balik pinjaman.
#Muhammad Yunus #menoktahkan kemiskinan #Anwar Ibrahim #keusahawanan sosial
;