Antara keluarga, kesetiaan dan prinsip, Nazir Razak bakal dedah semuanya pada 8 November
Astro Awani
Oktober 7, 2021 09:31 MYT
Oktober 7, 2021 09:31 MYT
KUALA LUMPUR: Ikon korporat terkemuka Datuk Seri Nazir Razak mengumumkan bakal melancarkan buku memoir mengenai pengalaman peribadinya bertajuk “What’s in A Name” pada 8 November nanti.
Bekas Pengerusi CIMB itu membuat pengumuman berkenaan menerusi laman Instagram beliau pada Rabu.
Buku terbabit antara lain menceritakan pengalaman Nazir mengemudi CIMB sehingga menjadi sebuah entiti perbankan terkemuka serantau.
Memoir itu turut menceritakan kisah di sebalik membesar dalam keluarga yang berlatarbelakangkan pengaruh politik besar.
Buku tersebut juga menyentuh legasi bapanya, Tun Abdul Razak Hussein serta kisah mengenai abangnya, Datuk Seri Najib Razak.
Tempahan awal sudah boleh dibuat di laman web www.nazirrazak.my.
Nazir menjawat jawatan Ketua Pegawai Eksekutif CIMB antara tahun 1999 hingga 2014, dan kemudian sebagai Pengerusi kumpulan perbankan itu pada 2014 hingga 2018.