Antara COVID-19, Perintah Kawalan Pergerakan dan kedegilan masyarakat

Anis Yusal Yusoff
April 1, 2020 11:13 MYT
Waktu PKP boleh digunakan untuk kembali menghargai perkara ringkas yang memberi impak besar termasuk masa bersama keluarga. Gambar hiasan/ AFP.

APA yang boleh kita pelajari selepas 14 hari mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebagai usaha untuk memutuskan rantaian COVID-19 dan malapetaka yang menimpa dunia ini?

Pertama, COVID-19 mengajar kita tentang kesihatan diri dan kebersihan setempat. Orang ramai sedar keperluan untuk menggunakan cecair pembasmi kuman dan mencuci tangan secara lebih kerap. Sebelum ini botol-botol cecair pembasmi kuman yang banyak disediakan di hospital-hospital hanya dilihat sebagai hiasan.
Masyarakat menjadi lebih peka akan kepentingan menjaga kebersihan. Sehinggalah butang-butang dalam lif-lif awam dilapik dengan plastik dan dicuci setiap masa. Kedai-kedai runcit dan pasar raya menyediakan kemudahan untuk orang membeli belah sambil menjaga penjarakan sosial.
Kedua, masyarakat menjadi lebih kreatif, dan orang-orang yang sebelum ini tidak terfikir untuk menggunakan e-wallet atau telefon pintar sebagai cara untuk membuat pembayaran dengan menghadkan sentuhan tangan telah mula menggunakannya. Ini secara tidak langsung akan membantu perkembangan teknologi yang sebelum ini sukar berkembang kerana kedegilan masyarakat yang terlalu terikat dengan budaya sedia ada.
Begitu juga dengan cara bekerja. Ada pelbagai jenis kerja yang masih boleh dilaksanakan walaupun kita berada di rumah. Masyarakat menjadi lebih kreatif dan mula berfikir tentang cara penyelesaian yang sebelum ini dipandang remeh.
Yang pasti, selepas ini apa yang kita anggap biasa sudah tidak biasa lagi. Akan wujud kebiasaan yang baharu atau new normal dalam kehidupan kita. Kita harus menerima hakikat ini sama ada kita suka atau tidak.
Ketiga, kita mula menginsafi segala perkara yang kita ambil mudah sebelum ini. Sebagai contoh, apabila kita harus memikirkan apa yang perlu kita masak setiap hari sambil memikirkan karenah setiap ahli keluarga kita, barulah kita sedar betapa sukarnya ibu-ibu kita dahulu harus menentukan bukan sahaja ada makanan atas meja tetapi dengan menu yang disukai oleh semua ahli keluarga.
Pada waktu ini, kita diberi masa untuk berhenti daripada segala kesibukan tugas yang tiada noktahnya sebelum ini untuk kembali menghargai perkara-perkara ringkas yang sebenarnya memberi impak yang sangat besar kepada kita. Masa bersama keluarga umpamanya. Berbual mesra dan bercerita serta bergurau senda. Masa untuk membaca buku-buku yang dibeli sebelum ini dan hanya disimpan di rak-rak buku. Masa untuk bertanya khabar kepada ahli-ahli keluarga yang lebih tua daripada kita. Betullah seperti kata peribahasa Melayu, “jauh di mata namun dekat di hati”. Sekurang-kurangnya kini kita ada masa untuk bertanya khabar.
Banyak lagi perkara-perkara positif yang telah kita capai selepas 14 hari PKP, namun ada juga kesan negatif yang sukar untuk kita fahami bagaimana ianya boleh berlaku.
Pertama, kita tidak faham kenapa masih ramai orang yang degil untuk mematuhi perintah yang mudah seperti ini. Masih ramai yang melanggar perintah ini!
Saya tidak pasti apa lagi yang pihak kerajaan harus lakukan untuk membuat masyarakat sedar bahawa kedegilan mereka ini boleh mengakibatkan nyawa terkorban. Sehingga hari ini sudah ada 43 orang yang maut disebabkan oleh COVID-19. Kita mahu tunggu jumlah ini meningkat sehingga berapa sebelum kita mahu akur kepada PKP ini?
Janganlah menyusahkan orang lain hanya kerana kedegilan kita itu. Begitu juga dengan mereka yang terdedah tetapi belum membuat saringan. Jangan pentingkan diri sendiri. Kalau pun kita tidak memikirkan tentang orang lain, fikirkan tentang apa akan terjadi kepada ahli keluarga terdekat dengan kita. Dapatkan bantuan segera sebelum terlewat.
Satu lagi perkara negatif yang dapat dilihat adalah bagaimana media sosial telah menjadikan ramai orang merasakan diri mereka pakar COVID-19. Dalam sekelip mata, semua orang menghantar beratus mesej yang mereka terima walaupun belum diperiksa kesahihan berita tersebut. Tanpa kita sedari, kita telah menjadi penyebab orang lain menjadi panik tanpa sebab. Lebih malang kerana kita membantu menjadi penyebar berita palsu.
Pada waktu ini kita perlukan semua pihak memainkan peranan mereka dengan penuh bertanggungjawab.
Para pemimpin negara juga tidak terlepas daripada teguran ini. Hentikan daripada mengeluarkan kenyataan atau perbuatan yang kemudiannya menjadi bahan ejekan rakyat di media sosial. Rakyat tidak mengharapkan semua pemimpin untuk mempunyai jawapan kepada semua persoalan dan masalah yang mereka hadapi. Jadi tidak perlu untuk memberi jawapan sekiranya kita tidak pasti apa jawapan sebenarnya. Lebih baik untuk kita bersikap jujur dan membuat kenyataan hanya apabila perlu sahaja.
Dalam tahun 1997, saya pernah terlibat sama dalam satu projek mengenai Teleworking di Malaysia. Antara fokus projek ini dahulu adalah bagaimana untuk membawa wanita-wanita yang selalunya berhenti kerja selepas berkahwin atau selepas melahirkan anak untuk kembali bekerja secara telework. Penemuan daripada projek ini elok juga dikaji semula kerana pada waktu ini kita harus memikirkan keperluan untuk mempunyai dasar dan undang-undang yang sesuai dengan keadaan.
Dalam waktu new normal selepas ini nanti, kita perlu memikir semula dalam banyak perkara. Pengurusan sumber manusia kita harus difikirkan semula. Peraturan yang dikenakan Tabung Pembangunan Sumber Manusia (HRDF) untuk membayar pembekal yang mengendalikan latihan juga harus difikirkan semula. Pada waktu ini latihan boleh dibuat secara atas talian. Maka keseluruhan sistem governans mengenai cara hidup kita juga perlu mula kita fikirkan semula dari sekarang.
Moga rakyat negara ini diselamatkan daripada segala malapetaka yang menimpa kita.


* Datuk Dr Anis Yusal Yusoff adalah Timbalan Ketua Pengarah, Pusat Governans, Integriti dan Antirasuah Nasional (GIACC) yang bekerja dari rumah.
*Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.

#COVID-19 #Dr Anis Yusal #GIACC #Kolumnis AWANI #koronavirus #perintah kawalan pergerakan #PKP #Pusat Governans
;